SPRM buka kertas siasatan dana RM600b, PM ucap takziah pada Muhyiddin



SPRM buka kertas siasatan dana RM600 bilion


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu namun tidak mendedahkan butiran lanjut berhubung siasatan yang sedang dilaksanakan agensi berkenaan.

“Ya, SPRM ada membuka kertas siasatan berhubung isu ini,” katanya ringkas.


Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 Nov lepas.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Menurut Anwar, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran melibatkan isu itu.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dilapor berkata beliau tidak takut disiasat susulan dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini. – Bernama


PM ucap takziah pada Muhyiddin


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga atas pemergian abang Pengerusi Perikatan Nasional itu, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin, pada 9.50 pagi tadi.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Abdul Aziz, yang dilahirkan di Muar pada 27 Okt 1932, meninggal dunia pada usia 90 tahun dan jenazah beliau akan dimandi serta disolatkan di Masjid Muadz Ibn Jabbal, Kuala Lumpur sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak petang ini.

Allahyarham pernah menjadi Ahli Parlimen Muar selama sepenggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-9.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Muar dari 1993 hingga 1995. – Bernama


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram