Syamsul saman Jawi RM10 juta, dakwaan sudah berkahwin lagi fitnah



KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof dikatakan berkahwin lagi terjawab apabila dia menyifatkan perkara tersebut sebagai fitnah.

Syamsul, 38, dalam satu hantaran di Instagram memaklumkan, perkara itu tidak benar, sekali gus meleraikan teka-teki yang tercetus apabila dia dikatakan sudah menikah lagi.

Dalam pada itu, Syamsul menerusi kiriman suara berdurasi satu minit dan 59 saat yang dihantar menerusi WhatsApp memaklumkan, dia akan menyaman Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) sebanyak RM10 juta kerana dikatakan mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadapnya.


“Saya telah berbincang dengan peguam panjang lebar dan dipendekkan cerita, saya akan saman pihak JAWI sebanyak RM10 juta kerana sudah mengeluarkan satu kenyataan fitnah terhadap saya.

“Mereka sudah memberi maklumat tidak benar kepada ahli keluarga saya sedangkan maklumat itu tidak benar, palsu dan boleh dikatakan fitnah kepada ahli keluarga saya,” katanya.

Pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu berkata, tindakan susulan akan dibuat dalam masa terdekat dan dia bakal memaklumkan hal tersebut.

“Perkara tersebut adalah dokumen rasmi kerajaan, oleh itu saya fikir perlu ambil tindakan. Setakat ini itu dulu yang boleh saya maklumkan dan selebihnya saya akan beritahu kemudian,” ujarnya.


Dokumen itu dipercayai berkaitan kemelut rumah tangga Syamsul bersama isterinya, Puteri Sarah Liyana yang turut membabitkan orang ketiga, Ira Kazar.

Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 5, serta Summayah 3.

Bagaimanapun, rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah dilanda kontroversi apabila terpalit dengan isu orang ketiga melibatkan anak pelakon senior, Kazar, iaitu Ira. – Utusan



 

Join our Telegram Channel
Telegram