Khairuddin: Terima kasih PAS hargai penubuhan Majlis Ulama Umno



Bekas setiausaha majlis dewan ulama PAS, Khairuddin Aman Razali merakamkan penghargaan kepada Mursyidul Am PAS Hashim Jasin yang menyambut baik usaha Umno menubuhkan Majlis Ulama Umno.

Khairuddin menyambut baik saranan Hashim yang melihat penubuhan majlis ulama mampu merapatkan kembali hubungan PAS dan Umno melangkaui politik kepartian.

"Secara peribadi saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Mursyidul Aam PAS, tuan guru Hashim Jasin yang mengalu-alukan penubuhan Majlis Ulama Umno.

"Harapan beliau agar Umno dan PAS dapat dirapatkan hubungan menerusi program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan parti sangat wajar kerana Umno dan PAS sememangnya perlu sentiasa bekerjasama dalam memperkukuhkan Islam dalam negara termasuk ke arah perpaduan umat dan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.


Khairuddin mengulas kenyataan Hashim yang dilaporkan oleh sebuah portal berita bahawa penubuhan Majlis Ulama Umno akan mendekatkan parti itu dengan PAS.

Jumaat lalu, ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU2022), Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi parti itu segera menubuhkan Majlis Ulama sebagai pembaharuan bagi menghadapi senario politik baru.

Dia berkata kerjasama antara umara (pemimpin) dan ulama mesti dijalinkan.

“Kita juga perlu mendekati kumpulan-kumpulan ulama yang saya percaya di luar sana bersedia untuk bersama dengan kita.

“Kita mesti terjemahkan usul pembaharuan yang telah kita bincangkan beberapa ketika yang lalu, Majlis Ulama Umno mesti diterjemahkan dengan segera,” katanya.


Pada penutup PAU2022 Zahid mengumumkan pelantikan Dusuki Ahmad sebagai Pengerusi Majlis Ulama Umno.

Selain itu, Zahid turut memberi bayangan yang ia akan dibantu Khairuddin.

Pada masa sama, Khairuddin berkata Majlis Perundingan Islam (MPI) akan disemarakkan kembali dan Majlis Ulama Umno telah diminta untuk memainkan peranan utama menjayakannya.

"Sebelum ini MPI yang menghimpunkan 83 tokoh-tokoh Islam digerakkan dan dipengerusikan oleh Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri pada 2016 turut disertai pimpinan PAS sehingga Mursyidul Am PAS ketika itu, tuan guru Harun Din dilantik mengetuai Kluster Dakwah, MPI.

"Sebanyak tujuh program dalam bentuk Multaqa dan Ijtimak menghimpunkan lebih ramai lagi tokoh-tokoh Islam dalam masyarakat termasuk daripada PAS berjaya dilaksanakan antara tahun 2016 hingga 2018," katanya lagi. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram