Majlis ulama akan dekatkan Umno, PAS, kata Mursyidul Am



PETALING JAYA: PAS amat mengalu-alukan penubuhan majlis ulama dalam Umno, kerana ia mampu merapatkan hubungan kedua-dua parti.

Mursyidul Am Hashim Jasin berkata hubungan kedua-dua parti itu akan boleh dirapatkan melalui program berlandaskan Islam yang melangkaui perbezaan politik.

“Kalau dia buat program apa pun, sama ada untuk parti atau rakyat, program itu akan berlandaskan agama contohnya sambutan Maulidur Rasul. Saya rasa tak ada sebab kalau tak undang PAS.

“Saya mengalu-alukan kerana kita fikir ke arah perpaduan,” katanya kepada FMT.


Malah, beliau langsung tidak menganggap majlis ulama Umno sebagai pesaing kepada majlis syura ulama PAS.

“Kita terbuka dengan agenda perpaduan ummah, sampai sekarang.

“Kalau penubuhan dan matlamat dia sama, tak jadi halangan bagi PAS untuk menyokong; untuk mencadangkan sesuatu aktiviti yang menguntungkan kedua-dua pihak.”

Umno baru-baru ini mengumumkan penubuhan majlis ulama untuk membimbing parti, serta mengukuhkan usaha dakwah dan pentarbiyahan ahli.


Bekas yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah, Dusuki Ahmad dilantik sebagai pengerusi, dan dibantu oleh bekas setiausaha majlis syura ulama PAS, Khairuddin Aman Razali.

Pembentukan majlis itu pertama kali dicadangkan pada perhimpunan agung parti 12 tahun lalu.

Ditanya sama ada PAS akan mengundang majlis ulama Umno ke program anjuran PAS, Hashim berkata hal seperti itu bukan luar biasa di peringkat akar umbi kedua-dua parti.

“Di peringkat akar umbi dah elok. Orang Umno hadir dalam majlis PAS, orang PAS pun sama. Peringkat bawah OK dah.” – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram