Suami isteri ditahan abai rawatan anak melecur



Johor Bahru: Seorang kanak-kanak lelaki dari Kampung Parit Kuchi, Pontian, melecur hampir keseluruhan badannya berikutan bermain api berhampiran timbunan sampah dibakar di rumahnya, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, selepas lima hari berlalu, mangsa yang berusia sembilan tahun itu tidak dibawa ke hospital oleh ibu bapanya untuk mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib, berkata perkara itu terbongkar selepas rakan kepada ibu mangsa ternampak gambar kecederaan serius kanak-kanak itu di dalam sebuah kumpulan WhatsApp.

Mohamad Shofee berkata, pengadu yang terkejut melihat kecederaan anak lelaki kepada kenalannya itu sebelum melawat keluarga berkenaan.


"Pengadu bersama ibu serta suaminya melawat kanak-kanak itu di rumahnya dan menasihatkan ibu bapa mangsa supaya membawa anaknya ke hospital untuk menerima rawatan.

"Pengadu mendapati budak itu tidak dibawa oleh ibu bapanya ke mana-mana hospital untuk mendapatkan rawatan dan kanak-kanak berkenaan masih lagi berada di rumahnya tanpa ada sebarang rawatan.

"Laporan dibuat kerana pengadu tidak berpuas hati dengan tindakan ibu bapanya yang masih membiarkan anaknya tidak menerima rawatan walaupun lima hari berlalu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Pontian. Sehingga laporan ini dibuat, luka mangsa semakin teruk dan lukanya sudah mula berbau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Shofee berkata, laporan dibuat untuk tindakan selanjutnya polis kerana pengadu mensyaki berlaku pengabaian kanak-kanak.

Katanya, semasa anggota polis sampai ke lokasi kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tidak berpakaian berada di luar rumah untuk dibawa ke hospital oleh keluarganya.


"Hasil pemeriksaan awal ke atas anggota badan mendapati terdapat kesan terbakar teruk dan melecur di beberapa bahagian seperti di bahagian kanan badan hingga ke kaki, bahagian lengan kiri, kedua-dua bahagian dalam peha, bahagian telinga kanan.

"Semasa kejadian, ibu kandung mangsa berada di dalam rumah terdengar bunyi letupan di luar dan nampak kelibat mangsa berlari dalam keadaan baju dan seluarnya terbakar menuju dan terjun ke dalam parit di hadapan rumah.

"Bapa mangsa membantu memadamkan api di baju mangsa dan membawanya masuk ke dalam rumah. Ibu bapa mangsa hanya membeli ubat tahan sakit dan ubat sapu di farmasi dan tidak membawa mangsa ke hospital.

"Mangsa dibawa ke Hospital Pontian menaiki ambulans untuk menjalani pemeriksaan lanjut. Mangsa kini dalam keadaan stabil dan akan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata, ibu bapa mangsa berusia 36 dan 33 tahun ditahan pada jam 2 pagi tadi untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebelum dilepaskan atas jaminan polis. – Hmetro





Join our Telegram Channel
Telegram