Tak munasabah tuduh sengaja bakar tuntut insuran, kata bos Jakel



PETALING JAYA: Tidak masuk akal dakwaan kebakaran di Wisma Jakel, Shah Alam disengajakan kerana hendak menuntut insurans, kata Pengarah Urusan Kumpulan Jakel Mohamed Faroz Mohamed Jakel.

Beliau menyifatkan dakwaan tular di media sosial itu sebagai langsung tidak munasabah, memandangkan cawangan gedung tekstil di Shah Alam itu kedua paling maju.

“Dalam keadaan sekarang, dengan jualan akhir tahun, kedai pun penuh dan bisnes pun maju, takkanlah kita hendak buat kerja-kerja kotor,” lapor Utusan Malaysia.


Lagipun, tambahnya, tuntutan insurans belum tentu berpadanan dengan jumlah jualan Jakel, terutama pada akhir tahun dan musim perayaan.

“Tuntutan insurans bukan sebulan, enam bulan pun belum tentu dapat, itu satu. Kehilangan peluang lagi, orang hendak berniaga boleh untung, sekarang raya sudah dekat.

“Apabila raya, berapa banyak jualan Jakel, berapa juta ringgit? Berapa sangat nilai perlindungan insurans? Jadi, tak logik. Tak masuk akal sebab Jakel maju, bukan syarikat yang bermasalah. Lagi pun Shah Alam adalah cawangan nombor dua paling maju, pertama di Jakel Mall (di Kuala Lumpur),” katanya.

Dilaporkan sebelum ini, Jakel kerugian hampir RM100 juta berikutan kemusnahan blok bangunan lima tingkat dan tiga tingkat Wisma Jakel. Jualan di cawangan tersebut difahamkan mampu mencecah RM300 juta setahun.


Sementara itu, sebanyak 50 pegawai dan anggota Jabatan Bomba Selangor, termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dari BBP Jalan Klang Lama dan Unit Forensik, menjalankan kerja penyiasatan selepas pemadaman api.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Bomba Selangor Norizham Mohd Nurdin, memaklumkan penempatan anjing pengesan di sana ialah prosedur biasa untuk menyiasat punca kebakaran.

“Kes ini bukanlah dikatakan bangunan ini sengaja dibakar, tetapi sebagai prosedur sesuatu penyiasatan kebakaran,” katanya. – FMT





 

Join our Telegram Channel
Telegram