Azalina: SPRM sahkan Nazlan langgar Kod Etika Hakim 2009, laporan telah dihantar kepada Ketua Hakim



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyerahkan laporan berhubung siasatannya ke atas Hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Ghazali kepada ketua hakim negara, kata Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) itu berkata, beliau menerima surat daripada SPRM memaklumkan ia sudah menyerahkan laporannya kepada Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat pada 21 Feb lalu.

Laporan itu berkaitan siasatan ke atas Nazlan yang didakwa melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Tetapi, Azalina berkata, surat itu tidak mengandungi maklumat tambahan berhubung perkara terbabit.


Katanya, perkara itu di bawah bidang kuasa peguam negara yang mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memulakan sebarang prosiding terhadap sesiapa saja, termasuk hakim.

“Tetapi, kerajaan tidak akan campur tangan,” katanya di Dewan Rakyat.

Azalina menjawab pertanyaan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) dan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) pada minggu lalu yang menggesanya mendedahkan hasil siasatan SPRM berhubung dakwaan terhadap Nazlan.

September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan sudah selesai, tetapi butiran lanjut tidak boleh didedahkan.

Katanya, beliau tiada kebebasan mendedahkan perkara itu arahan Jabatan Peguam Negara.


Nazlan, yang mengetuai panel hakim Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan SRC International Najib Razak, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dedan RM210 juta kepada bekas perdana menteri itu.

Dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan, Najib dihalang daripada berhujah bahawa Nazlan di bawah konflik kepentingan serius ketika mempengerusikan perbicaraan itu. Najib gagal dalam rayuan akhirnya dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.

April lalu, SPRM dilaporkan berkata, ia membuka kertas siasatan susulan laporan berhubung wang tidak dapat dijelaskan melebihi RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan kemudian membuat laporan polis berhubugn dakwaan itu, sambil menyatakan ia “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” untuk merendahkan kredibilitinya sebagai hakim. – FMT





Join our Telegram Channel
Telegram