Hakim bukan berada atas undang-undang, Isham ingatkan Ketua Hakim



PETALING JAYA: Hakim tidak berada di atas undang-undang dan tidak terkecuali daripada prosedur siasatan jenayah sama yang dikenakan terhadap orang lain, kata Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil.

Beliau berkata, pihak berkuasa tidak boleh dipaksa berunding dengan ketua hakim negara terlebih dahulu atau mendapatkan kebenarannya sebelum mengambil tindakan terhadap mana-mana hakim yang disyaki melakukan kesalahan jenayah.

“Hakim tidak ada imuniti atau keistimewaan dalam perkara-perkara jenayah. Tiada orang yang berada di atas undang-undang, termasuklah hakim,” katanya dalam catatan di Facebook.

Jumaat lalu, Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dilaporkan berkata, pasukan penyiasat perlu merujuknya terlebih dahulu, sebelum memulakan sebarang tindakan terhadap hakim.


Isham berkata: “Jika pihak berkuasa perlu minta kebenaran atau berunding dengan ketua hakim untuk menyiasat dan mendakwa hakim melakukan jenayah, ini tidak kena dengan prinsip pengasingan kuasa.”

Katanya, jika disyaki melakukan sebarang jenayah, hakim di negara lain, termasuk Britain dan Amerika Syarikat boleh ditahan, disiasat dan didakwa tanpa perlu mendapatkan kebenaran ketua hakim terlebih dahulu.

Beliau berkata, menegakkan aspek undang-undang ini penting bagi memastikan pengasingan kuasa antara eksekutif, badan kehakiman dan Parlimen dikekalkan.

Katanya, Tengku Maimun tidak seharusnya membuat keputusan yang mungkin kelihatan berat sebelah kerana rakyat sedang memerhati dan ia akan menjejaskan keyakinan mereka terhadap sistem perundangan negara.


“Jika rakyat hilang kepercayaan kepada sistem kehakiman, maka undang-undang sukar ditegakkan.”

Tengku Maimun membuat kenyataan itu dalam penghakiman Mahkamah Persekutuan berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Hakim Nazlan Ghazali.

Panel tujuh hakim itu berpendapat, hakim tidak kebal daripada siasatan jenayah atau pendakwaan, tetapi siasatan SPRM dijalankan tanpa mengikut protokol.

Katanya, badan penyiasat seperti SPRM mesti berunding dengan ketua hakim negara sebelum memulakan siasatan dan kegagalan berbuat demikian menunjukkan terdapat “kekurangan bona fide di pihak mereka”.


Mahkamah Persekutuan membuat keputusan itu dalam saman difailkan tiga peguam untuk mencabar siasatan SPRM terhadap dakwaan jumlah tidak dapat dijelaskan lebih RM1 juta dalam akaun bank Nazlan.

Mereka memohon perisytiharan bahawa siasatan itu tidak mengikut Perlembagaan, dan pendakwa raya tidak diberi kuasa memulakan atau menjalankan sebarang prosiding bagi kesalahan terhadap hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang sedang berkhidmat.

Hakim Nazlan menjadi terkenal apabila mengetuai panel hakim dalam perbicaraan Najib Razak di Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta, yang ketika itu dimiliki 1MDB.

Beliau mendapati Najib bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas perdana menteri itu. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram