Jangan tangguh keadilan Najib, gesa Speaker Johor selepas 21 hari laporan siasatan terhadap Hakim Nazlan diserah kepada Ketua Hakim



Pemimpin Umno menggesa agar laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali segera didedahkan kepada umum.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata, sudah 21 hari Menteri di Jabatan Perdana (Undang-undang dan Reformasi parlimen) Azalina Othman Said menyatakan laporan siasatan itu sudah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Menurutnya, apakah adil jika tiada tindakan diambil sebelum keputusan semakan kehakiman dalam kes SRC membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak diputuskan.

“Apakah adil, keadilan untuk Najib tertangguh? Apakah adil tiada tindakan diambil sebelum keputusan semakan kehakiman dalam kes SRC Najib diputuskan?


“Rakyat ingin tahu jika benar siasatan terhadap Nazlan membuktikan memang wujud ‘konflik kepentingan’ dan ‘pelanggaran etika’ yang membolehkan hakim Nazlan didakwa.

“Sebab itu dedahkan sahaja hasil siasatan SPRM itu pada orang ramai. Tahniah Azalina kerana beritahu Parlimen laporan itu telah diserahkan kepada ketua hakim negara dan peguam Negara,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan permohonan semakan Najib dalam kes rasuah antarabangsa RM42 juta SRC akan diketahui berjaya atau tidak selewat-lewatnya pada 31 Mac ini.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang bersidang dipengerusikan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli petang ini menangguhkan penghakimannya dalam semakan oleh bekas perdana menteri itu.


"Kami akan memutuskan tarikh yang akan ditetapkan kemudian. Pihak terlibat akan dimaklumkan. Tarikh keputusan tidak lewat daripada 31 Mac," kata Rahman kepada pasukan pembelaan dan pendakwaan, yang diketuai oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram. 

Melalui permohonan semakan itu, Najib mendakwa  terdapat konflik kepentingan hakim Nazlan yang menjatuhkan sabitan terhadap perbicaraan kes SRC International pada Julai 2020.

Hakim Nazlan telah dinaikkan pangkat dari Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Rayuan.

Najib yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang, turut mencuba ikhtiar lain di luar badan kehakiman untuk membebaskan dirinya melalui petisyen pengampunan diraja serta petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atas penahanan sewenang-wenangnya.


Najib mendakwa, antara lain hakim Nazlan tahu Maybank Investment (entiti Maybank Group) dan Binafikir (entiti lain dari Maybank Group) telah menasihatkan syarikat pelaburan negara 1MDB berkaitan urusan penubuhan SRC International.

Najib mendakwa bahawa konflik kepentingan timbul akibat peranan Nazlan sebagai penasihat umum kepada Maybank pada ketika itu.

Pada mulanya anak syarikat 1MDB, SRC dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Incorporated (MOF Inc). 1MDB juga dimiliki sepenuhnya oleh MOF Inc.

Permohonan semakan Najib juga mensasarkan tiga keputusan lain oleh sidang hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram