PANAS: Tular laporan siasatan SPRM terhadap salah laku Hakim Nazlan



KUALA LUMPUR – Salinan dokumen yang didakwa laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali kini terdedah tular dalam media sosial.

Laporan berhubung dakwaan pelanggaran kod etika hakim yang dikemukakan SPRM kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu dikongsi oleh pemilik akaun Twitter mahazalimreturn hari ini.

Berdasarkan maklumat pada muka akhir salinan dokumen tersebut, SPRM mengesyorkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Penganalis politik, Lim Sian See yang berkongsi ciapan tersebut dalam hantaran Facebook hari ini mendakwa, Mohd. Nazlan telah melakukan kesalahan menyoorok maklumat dan melanggar kod etika hakim di bawah Perlembagaan Persekutuan.


“Dana RM42 juta tidak boleh dipastikan berasal dari SRC International sebab dana RM170 juta telah dibayar oleh Putrajaya Perdana dan anak syarikatnya, Permai Binaraya kepada SRC ketika itu.

“Dana RM170 juta ini berasal dari pinjaman Maybank yang diluluskan ketika Mohd. Nazlan merupakan ketua bahagian undang-undang Maybank,” katanya.

Beliau menambah, SPRM juga telah mencadangkan kepada Tengku Maimun agar tindakan diambil ke atas Mohd. Nazlan kerana dipercayai melanggar Kod Etika Hakim.

Malah, Sian See memberitahu, kewujudan laporan daripada SPRM kepada Tengku Maimun pernah disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Parlimen bulan lalu.


“Namun Tengku Maimun masih belum mengambil apa-apa tindakan atau mengulas tentang laporan ini sejak 20 Februari 2023, iaitu lebih sebulan dahulu,” jelasnya.

Menurut beliau, ia adalah tidak adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana perkara-perkara tersebut sepatutnya dipertimbangkan dan dimasukkan sebagai bukti bagi semakan kes beliau yang akan diputuskan pada 31 Mac ini.

“Ketua Hakim Negara, SPRM atau Menteri Undang-undang patut sahkan atau nafikan pembongkaran ini secara umum. Tidak boleh membisu lagi,” katanya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu, Azalina memaklumkan, laporan SPRM berhubung siasatan ke atas isu kebocoran penyiasatan berkaitan kes Mohd. Nazlan telah selesai dijalankan dan telah diserahkan kepada Tengku Maimun.


Beliau menambah, laporan tersebut adalah berkaitan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 namun tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu dinyatakan oleh SPRM dalam surat kepadanya.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang mengadili kes SRC melibatkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati beliau bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan pada 28 Julai 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian undang-undang Maybank Investment mulai 2005 hingga 2015 dan dikatakan terlibat dalam proses kelulusan pinjaman melibatkan 1Malaysia Development Berhad.

Peraturan 8(1)(a) Kod Etika Hakim 2009 menyatakan, seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak menimbulkan keraguan munasabah tentang keupayaan bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim. – MG




kkkkkkkk



kkkkkkk





Join our Telegram Channel
Telegram