Anak pijak muka ibu sebab tak diberi RM20



Tanah Merah: Seorang anak sanggup memijak muka dan memukul ibunya selepas disyaki tidak mendapat wang RM20 yang dimintanya untuk membeli dadah dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Gual Jedok di sini, kelmarin.

Kejadian itu menyebabkan ibunya yang berusia 65 tahun mengalami kecederaan bengkak di bahagian kepala, dahi dan juga mata serta sakit pada bahagian badan sebelum mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, suspek yang juga bekas anggota tentera berusia 32 tahun.


Katanya, kes itu diketahui selepas abang suspek menerima rakaman video daripada abang iparnya jam 2.30 petang kelmarin sebelum tampil membuat laporan 5.08 petang hari yang sama.

"Melihat rakaman video itu, abang suspek membuat laporan polis. Dia bimbang berikutan suspek tinggal berdua dengan ibunya. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah rumah di mana suspek disyaki bertindak memijak muka dan memukul ibunya.

"Kejadian berpunca selepas suspek marah apabila ibunya tidak memberikan wang yang diminta sebanyak RM20 untuk membeli dadah," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, suspek berjaya ditangkap dan hasil soal siasat awal lelaki itu mengaku memukul kerana mangsa tidak memberikan wang yang diminta.


"Suspek yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (AKRT).

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine serta mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

Mohd Haki berkata, akibat dadah, anak kandung boleh melupakan ibunya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan wang. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram