Najib ucap terima kasih kepada semua



KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan rasa syukur dan tidak putus-putus mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendoakan yang terbaik buat beliau dan keluarganya dalam mengharungi dakwaan kes mahkamah.

Malah keputusan yang berpihak kepadanya hari ini dalam kes pindaan Laporan Pengauditan Akhir 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas dan membebaskan beliau dan bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy amat menggembirakan Najib.

Perkara itu disampaikan oleh peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam sidang media khas sebentar tadi di pekarangan kompleks Mahkamah Jalan Duta.


Kata Muhammad Shafee, Najib begitu teruja untuk terus berjuang dalam kes-kes yang sedang dihadapinya dengan semangat juang yang lebih tinggi selepas pengadilan besar buat beliau pada keputusan audit 1MDB hari ini.

“Anak guam kami mahu memberitahu semua pihak yang beliau bersyukur di atas keputusan itu, selain keyakinannya untuk menang tidak terhad kepada kes pada hari ini. Sesuatu yang begitu teruja. Ini juga telah naikkan semangat beliau.

“Beliau amat berterima kasih dengan anda semua (media) yang sentiasa ada di sini membuat laporan. Anak guam kami juga lahirkan penghargaannya berkali-kali kepada semua yang sentiasa menyokong tanpa berbelah bahagi selama ini.

“Kini semangat dan keinginan untuknya terus melawan dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah. Saya sendiri sentiasa yakin bukan sahaja di dalam kes ini sebaliknya bagi kes-kes lain seperti SRC yang mana kita juga berjuang sehabis-habisnya. 


“Saya juga yakin dalam kes SRC, kita akan dapat menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah sekiranya Mahkamah Persekutuan mendengar semula perbicaraan itu,” katanya.

Dalam pada itu, ketika kenderaan Najib bergerak pulang ke Penjara Kajang, kesemua penyokong dan ahli keluarganya beratur sambil menabik dan melambaikan tangan tanda kemenangan.

Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada PAC bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:
 

Join our Telegram Channel
Telegram