KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas membantah penganjuran acara lelaki berotot memakai skrit dan berpakaian dalam wanita ‘Thai Hot Guy’ yang dijadual berlangsung di sebuah kelab di ibu negara pada 30 Mac ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak supaya pihak penganjur membatalkan program berkenaan yang disifatkan sebagai tidak menghormati sensitiviti masyarakat Malaysia.
Muhamad Akmal memberikan amaran pihaknya akan ‘hadir dan membatalkan’ program berkenaan sekirannya penganjur tidak berbuat demikian.
“Jika tiada tindakan pembatalan dari pihak penganjur kami sendiri akan pergi dan membatalkan program tersebut.
“Kita tidak memerlukan orang yang tidak tahu menghormati sensitiviti sesama sendiri.
“Saya menyeru semua NGO dan parti politik yang lain juga kita bersatu hati menentang perkara yang terkutuk ini. Ini negara kita,maka cara dan budaya kita!” katanya.
Pergerakan Pemuda UMNO seluruh Malaysia juga akan membuat laporan polis terhadap penganjuran aktiviti yang disifatkan tidak bermoral itu hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, pihaknya membantah acara berkenaan kerana ia bersifat keterlaluan, tidak sensitif, tidak bermoral dan menjijikkan.
“Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka.
“Pas menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang jelas sangat berlawanan dengan budaya tempatan dan tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada bulan Ramadhan,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.
Program berkenaan juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama.
Beliau menegaskan, kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan perbuatan dan kecenderungan negatif.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel