Zahid: ROS lulus usul jawatan presiden Umno, timbalan tak dipertanding



Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah meluluskan usul tambahan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu tahun ini.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno telah menerima surat daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai keputusan ROS itu semalam.

"Surat dari Menteri Dalam Negeri semalam adalah mengenai pemberitahuan keputusan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13 (1)(c) (14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832), berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan presiden dan timbalan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang," katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Pengenalan Calon Umno Pulau Pinang di George Town, semalam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu memaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri telah memutuskan memberikan pengecualian kepada Seksyen 13(1)(c)(14) melalui Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 Akta 832 berhubung usul tambahan.


Beliau berkata surat dari KDN itu adalah satu keabsahan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden Umno disahkan tidak dipertandingkan.

"Ini kerana semua klausa dalam Perlembagaan parti juga turut diikuti oleh pengerusi tetap," katanya.

Ahmad Zahid berkata surat itu juga memberi pengesahan bahawa apabila ROS melakukan siasatan maka keputusan KDN mengikut Seksyen Perkara 70 Akta Pertubuhan 1966, adalah berkuat kuasa sepenuhnya dan memberikan keabsahan dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan.

Dalam pada itu, beliau berkata semua ahli-ahli harus memberikan keutamaan dalam memperkukuhkan parti dan mempertahankan Kerajaan Perpaduan yang merupakan sebahagian daripada parti Umno.

"Kerajaan yang ada ini mesti dipertahankan kerana Umno sebahagian kerajaan yang ada...agenda yang boleh menggugat kerajaan dan jangan pilih tokoh-tokoh yang boleh menggugat kerajaan," katanya.


Beliau juga mengingatkan semua pewakilan Umno supaya tidak berkempen sehingga hilang kelayakan atau mana-mana yang menang, kemenangan boleh dibatalkan.

Pemilihan Umno diadakan bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda serta Pergerakan Puteri Cawangan ialah dari 1 hingga 26 Feb ini.

Selain itu, Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac ini.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram