Guan Eng, Rayer sertai majlis buka puasa Umno bahagian (9 gambar)



Pengerusi DAP Lim Guan Eng hari ini menyiarkan mengenai majlis berbuka puasa anjuran Umno di Pulau Pinang yang disertainya, suatu yang tidak dapat dibayangkan hanya enam bulan lalu.

Acara itu nampaknya telah berlangsung pada Sabtu lepas tetapi Lim hanya menyiarkan mengenainya hari ini.

Lim dan isterinya Betty ikut serta Umno Bahagian Balik Pulau menyampaikan bubur di bazar Ramadan bersebelahan balai polis Sungai Pinang.

Kemudian, bekas ketua menteri itu berkonvoi bersama mereka untuk berbuka puasa di sebuah kedai makan tempatan.


"Masakan berbuka kami sangat sedap dalam Warong Opah yang menggunakan nama ibu pemilik.

"Gulai ikan, ayam goreng berempah, makan pula dengan ulam dan sambal belacan.

"Terima kasih kepada Datuk Shah Headan Ayoob Shah selaku Ketua Bahagian dan seluruh keluarga Umno Balik Pulau yang menerima kunjungan kami dengan layanan yang sangat istimewa," kata Lim.

Shah Headen, ketika menyiarkan mengenai majlis itu pada Sabtu, berkata kehadiran Lim pada acara berkenaan membantu menggalakkan perpaduan.


Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer.

Gambar yang dikongsi oleh Lim juga menunjukkan orang yang kelihatan seperti ahli Wanita Umno berswafoto dengannya.

DAP dan Umno pernah menjadi seteru politik, dengan Lim dan bapanya Lim Kit Siang sering digambarkan sebagai 'musuh' orang Melayu.

Bagaimanapun kedua-dua parti menjadi rakan yang tidak dijangka selepas PH dan BN berganding bahu membentuk kerajaan perpaduan sekarang. − Mkini

















Join our Telegram Channel
Telegram