Azalina: Menteri UMNO akan bangkit isu #KalimahAllah di mesyuarat kabinet esok



Dalam mesyuarat kabinet esok, menteri Umno dijangka membangkitkan keputusan kerajaan untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan penting yang membenarkan Jill Ireland - seorang bukan Islam Sarawak - menggunakan kalimah "Allah".

Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said berkata, penggunaan perkataan itu mesti dikendalikan dengan berhati-hati kerana ia melibatkan sensitiviti agama.

"Dalam hal ini penelitian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.

"Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai, termasuk pendekatan perundangan yang kukuh yang merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan. selain pendekatan bukan perundangan.


"Menteri-menteri Umno akan membangkitkan perkara ini untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada esok hari," kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina menambah Umno akan terus mempertahankan Islam sebagai agama rasmi persekutuan, di samping menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malaysiakini melaporkan semalam bahawa Putrajaya telah menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 yang membenarkan Ireland, seorang Kristian Melanau dari Sarawak, menggunakan perkataan 'Allah' untuk tujuan agama dan pendidikan.

Selain kerajaan persekutuan, perayu lain ialah menteri dalam negeri (yang tidak dinamakan dalam kertas kausa).


Notis penarikan balik difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April. Rayuan kerajaan adalah terhadap keputusan ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan kerajaan itu dibuat selepas ia mendapati percanggahan antara keputusan kabinet 1986 dan perintah pentadbiran yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun yang sama.

Percanggahan itu ditemui kementerian semasa proses permohonan rayuan selepas keputusan 21 Mac 2021 oleh hakim Mahkamah Tinggi Nor Bee Ariffin yang berkata arahan untuk melarang penggunaan empat perkataan itu oleh bukan Islam 35 tahun lalu sebagai "tidak sah" dan “tidak rasional”.

Saifuddin menambah bahawa KDN sedang mengkaji dan mengemas kini arahan yang lebih menyeluruh dalam usaha menangani isu berkaitan penggunaan kalimah “Allah” dan tiga perkataan lain dalam penerbitan agama.

Perkataan lain yang terlibat ialah 'baitullah', 'solat' dan 'Kaabah'. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram