Zahid sahkan tiada MP BN akan tinggalkan kerajaan



LENGGONG - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan tiada Ahli Parlimen BN yang akan meninggalkan parti.

Menurutnya, walaupun terdapat desas-desus mengenai 15 Ahli Parlimen BN yang mahu meninggalkan kerajaan perpaduan tetapi perkara itu tidak berlaku.

"Saya ingin menyatakan di sini bahawa BN sangat komited untuk terus bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) untuk mempertahankan kerajaan perpaduan Madani ini walaupun saya mendengar pada peringkat awal ada 13 orang yang mahu meletakkan jawatan kemudian angka itu meningkat kepada 15 orang.


"Saya telah melakukan kaji selidik tiap-tiap seorang Ahli Parlimen, saya ingin mengesahkan tidak ada seorang pun ahli-ahli Parlimen BN apatah lagi daripada UMNO yang mahu meninggalkan dan mengosongkan kerusi itu kerana ia melibatkan akta anti lompat parti," katanya ketika berucap ketika majilis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Perak di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Anwar berkata bahawa komplot untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan tidak akan berjaya meskipun pihak terbabit mengakui mempunyai akuan bersumpah (SD) yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau turut melahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga habis penggal sambil meminta sekiranya PN mempunyai majoriti yang mencukupi, gabungan itu boleh membawanya ke sidang Dewan Rakyat akan datang. − Sinar




Join our Telegram Channel
Telegram