Menyamar polis cuba tahan kereta, dua suspek berjaya ditahan



Johor Bahru: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam selepas disyaki terbabit dalam insiden menahan kenderaan orang awam dengan menyamar sebagai polis yang videonya tular semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas dua lelaki tempatan berusia 43 dan 48 tahun itu jam 6 petang semalam.

"Tangkapan dibuat di sebuah kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian.

"Seorang suspek adalah penjawat awam. Seorang lagi suspek masih bebas dan sedang dikesan.


"Semakan rekod jenayah lampau mendapati penjawat awam berkenaan tiada rekod, namun suspek kedua mempunyai rekod bersabit kes dadah" katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas sehelai baju pantulan cahaya, satu 'beacon light' mudah alih, lampu suluh, 'headlight' dan sebuah Honda City serta anak kunci.

Kamarul Zaman berkata, permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dibuat di Mahkamah Majistret Kulai pagi tadi dan seorang suspek direman dua hari.

"Permohonan reman ke atas suspek yang juga penjawat awam pula ditolak," katanya.


Kamarul Zaman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai polis dan Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan barang.

Pada jam 1.52 tengah hari semalam, polis menerima laporan berhubung satu video tular di Facebook memaparkan sekumpulan lelaki menyamar sebagai polis dalam cubaan menahan sebuah kenderaan di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke utara.

Dalam video berkenaan, tiga lelaki yang menyamar sebagai polis itu menggunakan lampu 'beacon' seakan polis dan cuba mengarahkan mangsa untuk menghentikan kenderaannya.

Pemilik akaun bernama Freeman Gan memaklumkan dia dikejar kereta seperti pasukan polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui lebuh raya itu.


Pada masa sama, Kamarul Zaman menyeru masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan yang berlaku di kawasan sekitar.

"Kita juga memohon bantuan orang ramai mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

"Polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mengikut undang-undang dalam usaha membanteras kejadian jenayah," katanya. − Hmetro





 

Join our Telegram Channel
Telegram