Kalau tiada PKP 3.0 kes mesti lebih 13,000, kata Azmin



JOHOR BAHRU: Malaysia berkemungkinan berdepan dengan jumlah kes positif harian Covid-19 lebih 13,000 pada 14 Jun lalu sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak dilaksanakan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejayaan melaksanakan PKP 3.0 hanya menyaksikan kira-kira 4,900 kes berbanding jangkaan terbabit.

“Kalau mengikut kajian dan kiraan, Malaysia akan menyaksikan sebanyak 13,000 kes baharu pada 14 Jun, namun jumlah sebenar hanyalah 4,900 kes.


“Ini berlaku kerana langkah-langkah yang telah diambil kerajaan terbukti berjaya dalam mengawal pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di Mount Austin di sini semalam.

Kerajaan telah menguatkuasakan PKP 3.0 sejak 1 Jun lalu sebagai langkah mendepani Covid-19 yang dilihat mencatatkan peningkatan di negara ini.

Menurut Mohamed Azmin, berdasarkan kajian sama, jika tiada langkah pencegahan diambil, Malaysia bakal menyaksikan kes harian baharu mencecah sehingga 40,000 kes sehari.

“Ini menunjukkan usaha yang dilakukan kerajaan dalam mendepani wabak ini telah menampakkan hasil positif, kita berjaya membendung perkara itu daripada berlaku,” katanya.


Sementara itu, beliau turut memaklumkan kepentingan bagi kerajaan mencari titik keseimbangan antara keselamatan rakyat dan kesejahteraan rakyat khususnya melibatkan sektor ekonomi.

“Kerajaan faham tiada perkara lebih penting daripada nyawa rakyat dan tiada kompromi dalam soal berkenaan. Dalam masa sama kita juga perlu lihat keperluan kepada sektor berkepentingan agar boleh terus beroperasi.

“Keseimbangan antara kedua-duanya perlu dicapai bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini terus terjamin walaupun dalam tempoh Covid-19,” jelasnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram