UMNO tak boleh jadi pak sanggup tadah kegagalan kerajaan PN – Zahid



KUALA LUMPUR, 9 Julai – Presiden UMNO, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus.

Justeru katanya, adalah tidak benar sama sekali apa yang diputuskan oleh UMNO kerana dahagakan kuasa.

“Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada.

“UMNO tidak boleh jadi `pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan menerusi satu hantaran di Facebook.


Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menyebut berkaitan jumlah kes COVID-19 makin menghampiri 1 juta dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) hampir mencapai kapasiti penuh, namun pandemik terus meningkat malah semakin ramai hilang nyawa dan tiada langsung bayang akan reda.

“Betapa perit perasaan kehilangan ahli keluarga tercinta dalam pasrah meratap sedih dan pilu. Apakah UMNO tidak tahu semua ini? UMNO mengerti semua ini?

“Natijah ekonomi negara terus merundum, ramai hilang mata pencarian atau pekerjaan. Sebilangan besar rakyat hidup sengsara dalam tekanan maha dasyat tidak pernah terjangka.

“Sehingga ada membunuh diri, mengangkat bendera putih mengharapkan bantuan makanan.”

Persoalannya apakah UMNO tidak tahu semua ini?


“UMNO  memahami semua ini. Adakah UMNO harus berpeluk tubuh? Memejamkan mata disebabkan kepentingan tertentu?

“Tidak… UMNO wujud untuk rakyat, maka UMNO bersuara dan terus bersuara tetapi kurang dilayan.

“Malah dituduh kuat merungut,  bercakap seperti pembangkang, agenda peribadi Presiden UMNO. UMNO dituduh main politik, sedangkan mereka kekurangan ‘political will’ menyelamatkan rakyat,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan sudah terlalu lama rakyat menderita dengan kedudukan ekonomi sangat lembab.

“Bagaimanapun secara halus ‘jenama’ UMNO cuba dikambing hitamkan. UMNO pula seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan disebalik kegagalan kerajaan PN.


“Bantuan diumumkan untuk rakyat walau tidak seberapa itu pun UMNO yang terpaksa mendesak.

“Walau terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh,” ujarnya lagi.

Ujar beliau, maka UMNO secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar kerana UMNO tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi dan negara perlu dipulihkan segera.

“Keadaan perlu diperbetulkan daripada yang teratas. Kapal belayar mengikut percaturan nakhoda.

“Perlu dilakukan ‘adjustment” supaya aspirasi rakyat dapat kembali ke landasan secepat mungkin,” katanya lagi. – UMNO Online


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram