Agong, Permaisuri zahir penghargaan kepada UK atas sumbangan vaksin AZ



KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan United Kingdom (UK) atas sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca bagi meningkatkan keupayaan proses vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Bekalan vaksin berkenaan tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Emirates EK346 pada jam 2.20 petang hari ini.


Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kanan Luar Negeri YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan YB Dato’ Sri Dr. Adham Baba atas pelaksanaan kerjasama di antara Kerajaan Malaysia dan UK dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin ini serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai sumbangan vaksin yang diberikan UK serta menzahirkan harapan kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk mendepani cabaran pandemik dan menuju ke arah pemulihan.

Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, turut menyampaikan ucapan terima kasih Baginda  kepada Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia, Tuan Yang Terutama Charles Hay dan Kerajaan UK atas sumbangan ini.


Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan dan hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara. Semoga sumbangan bekalan vaksin ini membantu negara memerangi pandemik COVID-19 dan memperhebatkan lagi PICK.

Seri Paduka Baginda berdua turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan pandemik COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera. – Istana Negara





Join our Telegram Channel
Telegram