Bersatu nafi tolak semua jawatan menteri



Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyangkal dakwaan parti itu sedang menimbang untuk tidak menyertai kerajaan baru pimpinan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Ismail dijadual mengangkat sumpah hari ini selepas mendapat sokongan 114 ahli parlimen, termasuk semua wakil rakyat daripada Bersatu.

Wan Saiful menyifatkan dakwaan itu sebagai "palsu" dan "berniat jahat mahu memecahkan Bersatu".


Dia mengulas laporan memetik sumber yang mendakwa cadangan itu diajukan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu baru-baru ini.

Menurut laporan itu, cadangan itu dibuat untuk menjarakkan parti itu dengan kumpulan "kleptokrat".

Dalam pada itu, ahli MPT Bersatu Muhammad Faiz Na’aman berkata, pimpinan parti tidak pernah dimaklumkan dengan cadangan seumpama itu.

"Perkara seumpama itu tidak pernah dibincangkan," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, Muhyiddin juga tidak hadir ketika mesyuarat terakhir MPT.


Faiz berkata, tidak logik untuk Bersatu tidak menyertai kabinet baru selepas memberi sokongan kepada Ismail Sabri.

Muhyiddin meletakkan jawatan setelah hilang sokongan majoriti apabila 15 ahli parlimen Umno, termasuk beberapa yang berdepan dakwaan rasuah, menarik balik sokongan mereka.

Bagaimanapun, 14 daripada 15 ahli parlimen tersebut telah kembali menyokong PN setelah dipersetujui Ismail akan menggantikan Muhyiddin.

Muhyiddin juga meletakkan syarat sokongan PN kepada Ismail iaitu dia tidak boleh melantik individu yang berdepan pertuduhan jenayah ke dalam kabinetnya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram