Perdana Menteri ziarah Ahmad Zahid



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menziarahi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hospital swasta di Shah Alam, hari ini.

Berita itu dikongsi oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan, sambil beliau mendoakan Ahmad Zahid kembali sembuh.

"PM (Perdana Menteri) melawat DS (Datuk Seri) Zahid malam ini. Semoga Presiden UMNO kembali sihat dengan izin Allah," katanya di media sosial, malam ini.


Beliau memuat naik dua gambar dalam posting itu.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut berkongsi kegembiraan melihat hubungan baik di antara Presiden dan Naib Presiden UMNO itu.

"Seronok melihat hubungan kasih sayang dan kemesraan dua sahabat baik. Bak air dicencang, tidak sesekali terputus.

"Walau kini di puncak kuasa, tetap menghormati nakhodanya. Syabas YAB Datuk Seri Ismail Sabri. Moga Allah berikan kesembuhan sempurna buat Datuk Seri Presiden UMNO," katanya di Facebooknya.

Asyraf Wajdi turut berkongsi gambar kedua-dua pemimpin berkenaan.


Terdahulu, kes Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yang berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, ditangguhkan berikutan beliau perlu menjalani prosedur membabitkan kecederaan tulang belakang, pagi ini.

Kes itu hari ini ditetapkan untuk hujahan lisan, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu.

Bagaimanapun, sebaik saja prosiding itu bermula, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak hadir kerana perlu menjalani rawatan intervensi sakit.

Katanya, Ahmad Zahid mengalami kecederaan itu akibat terjatuh dan berada dalam kesakitan sekiranya duduk terlalu lama. – Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram