ALOR GAJAH: Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menutup pintu perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) dan gabungan parti itu perlu segera memuktamadkan pendirian sama ada ingin bekerjasama atau tidak pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Pilihan Raya PN, Mohamed Azmin Ali berkata, ia penting bagi memastikan persiapan jentera dapat dibuat dengan lebih efektif di peringkat akar umbi.
“Bersatu, PAS dan Gerakan, kita dah sampai ke tahap untuk menghadapi hari penamaan calon, namun Umno belum buat keputusan muktamad. Maka, kita berharap keputusan dapat dibuat lebih awal dan tidak di saat akhir.”
Azmin yang juga Ketua Penerangan PN dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata demikian selepas menemui jentera PN Masjid Tanah dekat sini, yang turut dihadiri Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
Azmin berkata, beliau turut mendapat maklumat daripada beberapa pemimpin Umno dan akar umbi yang mahu diwujudkan kerjasama dengan PN.
“Tetapi, ini adalah masalah dalaman Umno yang tak perlu kami campur. Umno perlu buat keputusan muktamad, mahu atau tidak bekerjasama dan biarlah rakyat yang menjadi hakim menentukan mana parti yang menolak perpaduan, yang mana mahu mewujudkan kerjasama demi kestabilan negeri dan negara.”
Sebelum ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu kekal dengan keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya.
Malah, ketika ditanya sama ada Umno tidak akan bekerjasama dengan gabungan PN pada PRN Melaka, Zahid berkata: “Saya tidak nampak ke arah itu.”
ARTIKEL BERKAITAN:
- TERKINI: PN bertanding semua 28 kerusi #PRNMelaka – Mahiaddin
- UMNO tak akan bekerjasama dengan Bersatu, noktah! – Zahid
- Muhyiddin mahu pecah undi Melayu, sanggup bagi PH menang dari UMNO
- Laku lagi ke lakonan air mata Bersatu, soal Zahid
- #PRNMelaka: Bersatu mahu kerusi lebih banyak dari UMNO, PAS mahu 5 kerusi
- Azmin mahu bekerjasama dengan Umno
- BACA ARTIKEL BERKAITAN KRISIS POLITIK MELAKA DI SINI
Join our Telegram Channel