#PRNMelaka: Bersatu mahu kerusi lebih banyak dari UMNO, PAS mahu 5 kerusi



Umno memilih untuk berdepan secara langsung dengan Perikatan Nasional (PN) di Melaka selepas syarat yang ditetapkan gabungan yang terlahir selepas Langkah Sheraton itu terlalu sukar diterima.

Dua sumber dalaman Umno - termasuk seorang yang dekat dengan presiden parti terbabit - memberitahu mereka menghadapi masalah dengan jumlah kerusi majoriti Melayu yang disasarkan PN.

Bercakap dengan syarat identitinya tidak didedahkan, seorang anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata perbincangan awal dengan PN mendapati Bersatu - yang menjadi tunjang gabungan tersebut - mahukan lapan kerusi, manakala PAS pula lima.

Mengikut sempadan pilihan raya yang ada sekarang, secara keseluruhan sebanyak 28 kerusi dewan undangan negeri (DUN) ada di Melaka.


PN adalah gabungan yang menyatukan Bersatu, PAS, Gerakan, Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Seorang sumber yang dekat dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga memaklumkan hal yang sama kepada Malaysiakini.

"PAS nak lima kerusi, Bersatu mahukan lapan dan di Melaka kerusi majoriti Melayu ada 21 kawasan.

"Maknanya kalau begitu Umno hanya boleh bertanding lapan kerusi... mana boleh!" katanya.


Dua lagi untuk MCA, MIC


Dalam PRU ke-14 yang diadakan pada 2018, Umno bertanding di 18 kerusi DUN manakala sekutu lain mereka dalam BN diletakkan di 10 kerusi lain.

Untuk rekod ada 23 kerusi majoriti Melayu di Melaka tetapi ada segelintir daripadanya - dengan jumlah pengundi bukan Melayu yang agak tinggi - diberikan BN kepada MCA dan MIC.

Bagaimanapun MCA dan MIC gagal memenangi sebarang kerusi DUN Melaka pada 2018.

Sementara itu ketika Umno dilihat lebih berminat bekerjasama dengan PAS berbanding Bersatu, namun sikap parti terbabit - yang menjadi sebahagian daripada komponen PN - dikatakan memang mencabar kesabaran.

Pada PRU lalu PAS meletakkan calon di semua kerusi DUN namun - seperti MCA dan MIC - mereka gagal mencatat sebarang kemenangan.

Walaupun secara bandingan Bersatu adalah parti yang kecil, kini para pemimpinnya cuba meletakkan parti tersebut sebagai setaraf dengan Umno. Ia sudah tentu mengundang kemarahan Umno.


Kebuntuan tersebut - jika tidak diselesaikan sebelum hari penamaan calon pada 8 Nov nanti - mungkin menyaksikan BN meletakkan calon di semua 28 kerusi yang ada dan berdepan dengan PN, selain Pakatan Harapan (PH).

Keadaan itu seterusnya menghidangkan pertembungan tiga penjuru pada PRN yang dijadual berlangsung pada 20 Nov.

Keputusan PRN Melaka ini dianggap sangat penting kerana ia boleh menjadi isyarat awal kepada kedudukan parti-parti yang ada bagi menghadapi PRU ke-15 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2023.

Bagaimanapun biasanya PRU di negara ini diadakan lebih awal berbanding tarikh akhir sesuatu penggal dengan detik pembubarannya dirahsiakan sehinggalah ke saat-saat akhir sekali gus memberi kelebihan kepada parti kerajaan berbanding pembangkang.

MKT Umno masih belum membuat keputusan secara rasmi sama ada akan bekerjasama dengan PN di Melaka. Namun ketetapan dibuat parti itu dalam perhimpunan agung mereka awal tahun ini sudah memuktamadkan hubungan itu berakhir menjelang PRU ke-15. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram