PETALING JAYA: Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengulangi pendirian parti itu menolak bekerjasama dengan DAP dan mengatakan mereka bukan seperti Bersatu, malah Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah cuba menarik pengundi Melayu menyokong parti pembangkang itu.
Menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno dan BN menjadi blok paling yang “boleh dipercayai” dalam menentang idealisme yang dibawa DAP.
“Umno dan BN tidak pernah menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dalam apa jua keadaan.
“Semasa pilihan raya umum (PRU) lalu, Umno berjuang menentang DAP manakala Bersatu pada masa itu ke sana, sini untuk menyokong DAP. Umno dan BN mengingatkan rakyat apakah itu DAP, (tetapi) Bersatu menghasut orang Melayu di kampung dan bandar untuk mengundi DAP.”
Jelasnya, selepas PRU 2018, Umno and BN kekal sebagai pembangkang manakala Bersatu bekerjasama malah turut mempertahankan DAP.
“Bersatu hanya meninggalkan DAP selepas mereka kehilangan sokongan orang Melayu.
“Pemimpin Umno dan BN tidak pernah mengadakan sidang media secara langsung untuk merayu talian hayat DAP supaya kekal berkuasa,” tambahnya merujuk kepada rayuan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan sokongan dengan menawarkan beberapa pembaharuan politik jika beliau boleh mendapatkan sokongan yang diperlukan.
Umno beberapa kali sebelum ini menegaskan bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.
Kedua-dua parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan pada masa ini, namun hubungan tegang itu kembali berlanjutan ketika di bawah pentadbiran Muhyiddin.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel