MIC bertanding satu kerusi di #PRNMelaka



SERI BENDAHARA 23 Okt. – Pengerusi MIC Melaka, Datuk Wira MS Mahadevan mengesahkan parti itu hanya akan bertanding satu kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 Nov depan.

Katanya, kerusi yang akan ditandingi ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, setelah mendapat lampu hijau daripada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).


Katanya lagi, setakat ini pihaknya sudah menghantar tujuh nama calon untuk bertanding di DUN berkenaan dan menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan siapa sahaja yang layak.

“Memang satu kerusi telah dikhaskan kepada MIC untuk PRN Melaka dan kita akur dengan keputusan tersebut.

“Jadi, seboleh-bolehnya kita mahu kekalkan satu kerusi itu dan kita berharap rakyat di negeri ini tidak kiralah dari kaum Melayu, Cina atau India sekalipun supaya memberi sokongan kepada kita.

“Tanpa sokongan masyarakat berbilang kaum kita tidak mungkin akan mencapai kemenangan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Deepavali anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) Negeri Melaka, di sini, hari ini.


Mengulas mengenai kesiapsiagaan jentera MIC bagi menghadapi PRN, Mahadevan berkata, pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan termasuk membantu calon-calon dari BN.

Justeru, beliau meminta rakyat agar membuat pilihan yang bijak dalam memastikan kerajaan yang benar-benar kukuh dipilih untuk mentadbir negeri ini. – MHI



Join our Telegram Channel
Telegram