Hina rakyat Melaka lahabau, wakil rakyat DAP mohon maaf



PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching memohon maaf atas kesilapannya menggunakan bingkai gambar dengan slogan “Lahabau Melaka, Jom Undi” yang tersedia di Facebook sebagai bahan kempen sempena pilihan raya negeri (PRN) Melaka, sehingga mencetuskan rasa kurang senang warganet. 

Perkataan “lahabau” dalam konteks penduduk tempatan bermakna tidak berguna atau tidak boleh diharap.

Mengakui tidak memahami maksud sebenar perkataan berkenaan, wakil rakyat DAP itu berkata beliau cuba berkempen melalui bingkai percuma yang didapati di Facebook.


“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas Pakatan Harapan, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.

“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.

“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ percuma yang boleh didapati di dalam Facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya di Facebook.

Beliau turut meminta maaf kepada rakyat dan pengundi di Melaka kerana terlalu ghairah berkempen menerusi media sosial selepas calon dan parti bertanding dilarang berkempen secara bersemuka sepanjang PRN Melaka.

“Dengan ini, saya dengan penuh rendah hati, memohon maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaikkan bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.


“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” katanya yang berjanji akan lebih berhati-hati selepas ini dalam memuat naik bahan kempen di media sosial.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal 16 Nov, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt.

DUN Melaka dibubarkan selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 DUN, terdiri daripada 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram