Sulaiman kembali jadi CM jika BN menang, kata Najib



PETALING JAYA: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Sulaiman Md Ali akan kembali menjadi Ketua Menteri Melaka jika Barisan Nasional menang dalam pilihan raya negeri (PRN) itu, kata Najib Razak.

Najib yang juga penasihat Barisan Nasional (BN) berkata, Sulaiman yang sebelum ini adalah Ketua Menteri merupakan calon tunggal Ketua Menteri Melaka sekiranya BN menang dalam PRN kali ini.


“Tak, tak, tak… kita (BN) tentukan Sulaiman saja (sebagai Ketua Menteri),” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu mengiringi Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh ke pusat penamaan calon bagi kerusi DUN Tanjung Bidara.

Najib menegaskan tidak timbul isu pencalonan Rauf di kerusi DUN Tanjung Bidara, sekali gus menepis dakwaan bahawa BN mungkin mencalonkan nama lain bagi jawatan nombor satu pentadbiran kerajaan negeri itu selain Sulaiman.


Sementara itu Rauf berkata, penyertaannya pada PRN Melaka kali ini adalah untuk membawa mesej perjuangan parti, bukan untuk menentang mana-mana individu.

“Saya bukan melawan Mas Ermieyati (Samsudin). Saya membawa sebuah perjuangan dan menebus maruah orang Umno di Tanjung Bidara,” katanya.

Rauf, bekas Speaker DUN Melaka akan berdepan calon PN, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Undang-Undang serta calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram