Kemelut UMNO-MCA di Bemban selesai – Hasan Rahman



JASIN: Kemelut bantahan ketua-ketua cawangan UMNO Bahagian Jasin terhadap keputusan kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban ditandingi calon MCA, akhirnya menemukan jalan penyelesaian.

Pengarah Pilihan Raya BN Parlimen Jasin, Datuk Hasan Rahman berkata, semua pihak terlibat akhirnya berikrar bekerjasama membantu calon BN, Datuk Koh Chin Han merampas kembali kerusi itu yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Jelasnya, kesemua sembilan pusat daerah mengundi (PDM) yang ditutup sejak Jumaat lalu, telah dibuka semula, manakala gerak kerja jentera sudah kembali beroperasi.


“Masalah tempoh hari kerana rasa tidak puas hati ahli UMNO di Bemban ekoran keputusan BN meletakkan calon MCA, sudah berjaya diselesaikan di meja perundingan.

“Semua sudah berikrar untuk kembali bertugas, serta membuka semula sembilan PDM bagi membantu calon BN daripada MCA menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Jentera DUN Sungai Rambai di sini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, tidak sampai 24 jam selepas pengumuman calon BN, sebanyak sembilan PDM BN di Bemban telah ditutup.

PDM yang ditutup mulai Jumaat itu ialah Pondok Kempas, Kesang Tua, Seri Bemban, Tehel, Taman Maju, Air Panas, Air Kangkong, Air Barok dan Kesang Jaya.


Mengulas lanjut, Hasan berkata, semua 38 bilik gerakan dan PDM seluruh Parlimen Jasin kini telah kembali beroperasi seperti biasa.

Beliau merayu seluruh jentera parti dan pengundi di lima DUN selain Bemban iaitu Rim, Merlimau, Sungai Rambai dan Serkam supaya memilih calon BN.

“Harus diingat BN adalah sebuah parti untuk generasi anak dan cucu kita. Parti ini telah membuktikan jasa sejak 60 tahun mentadbir kerajaan cuma disebabkan oleh fitnah, BN tewas pada PRU-14,” jelasnya. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram