Najib, netizen sindir calon PN Bemban tiru idea klinik percuma Klinik 1Malaysia



MELAKA – Mahu mewujudkan klinik rakyat percuma buat golongan miskin antara hasrat Dr Mohd Yadzil Yaakub di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, idea terbabit timbul berdasarkan pengalamannya selama 12 tahun membuka Poliklinik Hidayah di Jasin Bistari di sini.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, beliau menerima pelbagai reaksi daripada pesakit terdiri daripada latar belakang.

“Sebenarnya, sebagai doktor perubatan saya tidak boleh melihat perniagaan poliklinik ini bermotifkan keuntungan semata-mata kerana bagi orang Islam, kita juga dididik dengan sifat mahmudah.


“Sebab itu saya terfikir, jika menang Pilihan Raya Negeri 20 November ini, saya dan rakan-rakan akan memikirkan kaedah untuk mewujudkan klinik rakyat percuma kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya ketika ditemui di polikliniknya hari ini.

Bagaimanapun, menurut Penaung Pertubuhan Gagasan Inovasi & Ekonomi Melaka (GIEM) itu, idea klinik rakyat itu perlu diperincikan supaya usaha murni itu benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

“Mungkin ia bukanlah mudah, tapi tidak mustahil jika diizinkan Allah yang akan saya usahakan dengan bantuan rakan-rakan lain yang berminat,” katanya.

Idea Dr Mohd Yadzil itu bagaimanapun disindir oleh netizen kerana setiap kali PRK atau PRU, janji manis itu akan diulang untuk membeli hati hati rakyat.

“Bab janji bulan bintang ni….serahkan je kepada PH (terutamanya PPBM). Terbaru calon Bemban kencing nak bukak klinik swasta percuma. Elok-elok dah ada banyak Klinik 1Malaysia yang Najib buat, korang tutup.


“Ni tak lain tak bukan nak sakau duit ni. Bukak klinik swasta, konon percuma. Tapi pakai dana kerajaan.” kata Nabeel Naqie dengan berkongsikan keratan akhbar calon Bersatu yang bertanding di PRK Semenyih pada Februari 2019 yang lalu.

Janji manis itu turut mendapat perhatian bekas perdana menteri Dato' Seri Najib Razak yang mempersoalkan mengapa dahulu Bersatu sewaktu di dalam kerajaan PH menutup banyak klinik percuma 1Malaysia yang ditubuhkan oleh beliau. 

“Ini bukan macam Klinik 1Malaysia ke? Dulu kita buka banyak dan cadang nak buka lagi banyak tapi korang tutup masa dalam kerajaan PH pulak.” soal Najib.

DUN N24 Bemban yang mempunyai seramai 18,573 pengundi bakal menyaksikan pertembungan lima calon bertanding menjelang hari pengundian 20 November ini.

Ia termasuklah Tey Kok Kiew(PH-DAP) yang juga penyandang DUN Banda Hilir, Datuk Koh Chin Han (BN-MCA) selain dua calon bebas Azmi Kamis dan Ng Choon Koon bagi merebut kerusi penyandang DAP itu pada 2018. – MG / Cinca.news



Join our Telegram Channel
Telegram