Khairuddin dedah Hadi tandatangan kerjasama PN tanpa rujuk parti



Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali mendedahkan perjanjian antara PAS dengan Perikatan Nasional (PN) pada September 2019 dibuat tanpa meminta pandangan daripada kepimpinan parti itu.

Malah, kata Khairuddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjalinkan kerjasama dengan PN tanpa mengikut lunas perlembagaan parti.

"PN ditubuhkan tidak mengikut lunas perlembagaan parti, hanya dengan tandatangan surat oleh presiden parti dan dengan nasihat dua tiga orang saja.

"Ditandatangani, bersetuju untuk tubuhkan PN tanpa dibawa kepada jawatankuasa harian pusat, tanpa ada kertas kepada AJK PAS Pusat, tanpa dibawa ke Majlis Syura Ulama dan dibahaskan untuk dilihat siasah syarie, maqasid syariahnya, belum dipersetujui tetapi sudah diluluskan.


"Ini contoh kesilapan tetapi apa yang berlaku kita diamkan, kita betulkan dalaman saja," katanya dalam satu temu bual di BernamaTV, malam tadi.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata perkara itu berbeza dengan apa yang berlaku ketika Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan.

"Dasar parti adalah MN, dasar parti yang dibuat melalui proses yang sangat hebat, bermula dengan kertas kerja di peringkat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dibawa ke Majlis Syura Ulama dan ini peraturan, Fasa 26 (9)(K).

"Maka ini berlaku, Majlis Syura meluluskan dan dua kali dibawa ke muktamar iaitu pada tahun 2018, 2019 dan akhirnya kita bersetuju untuk tubuhkan MN.

"Draf MN dibawa ke dalam jawatankuasa kerja PAS Pusat, Majlis Syura dan diturunkan ke pusat, dibetulkan draf dan dibawa semula ke bawah barulah ditandatangani di hadapan ahli dan kepimpinan PAS dan Umno di PWTC pada 14 September 2019.


"Ini contoh proses mengikut proses dalam parti tetapi apa jadi pada PN?” soalnya.

PN ditubuhkan secara mengejut bagi mengambil alih pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang runtuh pada 24 Februari tahun lalu.

Proses pengambilalihan kerajaan oleh bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin itu mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Bersatu, Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain.

Bagaimanapun, Umno pada 30 Julai 2020 melalui presidennya Ahmad Zahid Hamidi memutuskan parti itu tidak menyertai PN secara rasmi.

Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan MN bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.

Menurutnya, sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.


Kesal aduan dibocorkan

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khairuddin menyatakan rasa kesalnya tindakan pihak tertentu merakam perbualannya dengan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan membocorkannya.

Menurut Khairuddin, ia telah menjadi fitnah kepada dirinya sendiri dan memaksa parti membuat keputusan mengeluarkannya daripada barisan kepimpinan.

"Saya mengadu kepada musyidul am, aduan seorang setiausaha kepada ketuanya musyidul am tetapi aduannya (tentang segala perkara yang perlu saya bawa menerusi saluran parti) dibocorkan sehingga menjadi fitnah kepada diri saya sendiri.

"Tetapi itu sudah berlalu, yang penting sebagai ahli parti saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin parti menggunakan saluran yang ada dan kemuncaknya saya terkeluar daripada barisan kepimpinan.

"Maka telah berakhirlah tugasan saya sebagai pimpinan parti yang menegur secara dalaman," katanya.


Terdahulu, Khairuddin mengumumkan permohonan berhenti daripada menjadi ahli PAS.

Menurutnya, surat telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, mengikut perlembagaan PAS.

Sebagai rekod Khairuddin sejak kebelakangan ini tampil mengkritik pendekatan PAS termasuk langkah pemimpin yang menyerang Umno ketika berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Dia juga sebelum ini digugurkan daripada anggota jawatankuasa (AJK) PAS.

Jawatankuasa pusat PAS juga menarik balik pencalonannya sebagai anggota Majlis Syura, menyebabkan kelayakannya sebagai setiausaha badan itu terbatal. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram