Ini berlaku kerana kebodohan dirinya – Hadi



Mana-mana pihak yang cuba untuk mengubah hala tuju PAS atau cuba untuk “menenggelamkannya”, akan tersingkir daripada parti, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Jelas Hadi, PAS berdiri atas prinsip dan dasar tersendiri- menjadikan Islam sebagai akidah perjuangan, serta sunah, ijmak dan qias sebagai hukum tertinggi - yang dijaga Majlis Syura Ulama (MSU), manakala AJK PAS pusat pula mentadbir mengatur pengurusan serta strateginya.

Peranan MSU dan AJK PAS pusat itu, kata Abdul Hadi, tidak boleh dilaga-lagakan oleh mana-mana pihak kerana sempadannya telah ditetapkan mengikut perlembagaan parti, selain adab berjemaah yang telah ditarbiah kepada ahli.

“Tidak diizinkan kepada sesiapa dan mana-mana pihak bagi merungkai dasar tersebut dengan akalnya yang cetek, jauh sekali merombak atau merobohkannya sama ada dari dalam ataupun anasir luar yang mahu merosakkan asas dan matlamat perjuangan PAS.


“[...] Sesiapa yang gagal dalam tarbiahnya, maka akan tersingkir atau disingkirkan,” katanya dalam catatan Minda Presiden di Facebooknya.

Tegas ahli parlimen Marang itu, hanya orang yang sabar, dapat terus bersama PAS, manakala yang tidak ikhlas dan istiqamah atau gopoh untuk menang sehingga mengambil pendekatan pintas yang terpesong sehingga terpesong, akan tersingkir.

“Keadaan ini berlaku sama ada kerana kebodohan dirinya ataupun digoda oleh pelbagai pihak sepanjang perjalanannya.

“[...] Kita wajib mewujudkan kumpulan Islam yang beristiqamah di atas prinsip akidah, syariah, dan akhlak supaya dipelihara oleh Allah laksana bahtera yang kukuh dan betul perjalanannya yang berprinsip.

“Sesiapa yang mencuba untuk mengubah hala tujunya atau menebuknya bagi ditenggelamkan, nescaya akan dicampak keluar atau tercampak sendiri dengan kehendak Allah yang sentiasa memelihara agama-Nya (Islam),” kata Abdul Hadi lagi.


Catatan itu dikeluarkan di kala isu permohonan Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali untuk keluar dari PAS hangat diperdebatkan.

Khairuddin sejak kebelakangan ini lantang mengkritik pendekatan PAS termasuk langkah pemimpin yang menyerang Umno ketika berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, yang menyaksikan Umno-BN menang besar.

Dia dilihat sebagai tokoh dalam PAS yang cenderung kepada kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno, berbanding bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Khairuddin sebelum ini digugurkan daripada anggota jawatankuasa (AJK) PAS. Jawatankuasa pusat PAS juga menarik balik pencalonannya sebagai anggota MSU, menyebabkan kelayakannya sebagai setiausaha badan itu terbatal.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS mempunyai banyak pengalaman sejak sebelum merdeka lagi, sehinggalah kini ia mengambil pendekatan demokrasi tanpa kekerasan dan masyarakat bersaudara walaupun bermasyarakat majmuk.

“Usaha pihak yang mahu merosakkan pendekatan ini dapat disingkirkan sepanjang perjalanannya, sehingga PAS langsung tidak rebah tersungkur.

“Mereka yang tersungkur ialah mereka yang mengacau perjalanannya, sama ada yang menipu, ekstrem, ataupun tiada kebijaksanaan,” katanya lagi. – Mkini




Join our Telegram Channel
Telegram