Khairuddin: PAS sudah buang dasar politik matang ke Laut China Selatan



Anggota Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali meneruskan kritikan tajam terhadap partinya susulan prestasi dan pendekatan PAS dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Tegasnya, budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar PAS kini telah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.

"Perlu diterima hakikat bahawa serangan keras bertali arus oleh pimpinan utama PAS dan PN terhadap Umno atau BN yang masih lagi menjadi rakan muafakat PAS menerusi MN meliarkan golongan atas pagar untuk mengundi PAS dan PN.


"Jauh sekali boleh menarik penyokong BN untuk menyokong PN. Budaya politik matang dan sejahtera PAS yang menjadi dasar parti telah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Sebagai rekod bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu sebelum ini tampil menegur kepimpinan partinya agar tidak menyerang lawan ketika berkempen dalam PRN Johor, baru-baru ini.

Ia selepas beberapa pimpinan parti itu tampil menghentam pimpinan Umno dengan lantang termasuk dengan gelaran 'penyamun' dan 'perompak'.

Sebagai rekod PAS yang menyertai pilihan raya itu bersama gabungan PN hanya memenangi satu kerusi daripada 15 kerusi yang ditandinginya.

Sementara itu Khairuddin berkata, hakikat yang diperkatakannya itu pasti tidak akan diperakui oleh pimpinan PAS dalam bedah siasat pilihan raya nanti.


Katanya, budaya penafian dan “menyapu sampah ke bawah karpet” jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti.

"Wala dan ketaatan tidak seharusnya mematikan muhasabah dan kritikan. Kritikan bukannya penderhakaan terhadap wala.

"Kritikan terbuka perlu diterima di saat teguran dalaman menerusi mesyuarat tertutup tidak lagi diendahkan bahkan dibocorkan kepada awam sehingga menimbulkan fitnah kepada orang yang menegur," katanya yang sebelum ini digugurkan daripada jawatan ahli jawatankuasa PAS. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram