Kalau Muhyiddin ambil tanggungjawab atas kesalahan dia, maka dia letaklah jawatan – Hashim Jasin



PETALING JAYA: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) hanya boleh ditentukan dirinya dan pemimpin gabungan itu, susulan kekalahan dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor semalam.

“Kalau dia ambil tanggungjawab atas kesalahan dia, maka dia letaklah jawatan tu.


“Bagaimanapun terpulang pada Tan Sri (Muhyiddin) sendiri dan juga pemimpin utama PN,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kesediaan Muhyiddin melepaskan jawatan Pengerusi PN pada bila-bila masa, sekiranya diminta oleh parti komponen, susulan kekalahan teruk gabungan itu dalam PRN Johor.

Barisan Nasional memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala PN sekadar menang tiga kerusi di Bukit Kepong (Bersatu), Maharani (PAS) dan Endau (Bersatu).

Hashim berkata, PAS menghormati keputusan PRN Johor dan tekad untuk terus berusaha.


“Saya sendiri tak putus asa untuk bergerak ke arah itu kerana ia merupakan perpaduan ummah yang diharapkan oleh Allah supaya kita bersatu padu.

“Walaupun gagal sekarang, bukan bererti tuntutan berpadu itu hilang begitu sahaja,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram