Zahid, Hasni puji Najib atas kemenangan BN di Johor



Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memuji Ahli Parlimen Pekan Najib Razak sebagai "pengurus utama kempen" BN selepas kejayaan gabungan itu merampas semula negeri itu.

Menjelang tengah malam semalam, pemimpin Umno berkumpul di ibu pejabat parti itu di Larkin, Johor Bahru dan mengadakan sidang media selepas keputusan tidak rasmi menunjukkan kemenangan BN di 40 kerusi, membolehkan mereka membentuk kerajaan dengan majoriti besar.

"Walaupun secara rasmi pengarah pilihan raya kami ialah (timbalan presiden) Mohamad Hasan, pengurus kempen utama kami ialah Najib," kata Zahid, disambut sorakan 'Bossku!' daripada penyokong BN.

“Walaupun dia (Najib) berdepan serangan bertubi-tubi, walaupun difitnah setinggi gunung, semangatnya tetap kuat," kata Zahid.


Najib telah melakukan jelajah ke seluruh Johor, berkempen untuk calon BN, khususnya dari MCA di kerusi yang dipegang DAP di mana dia mengadakan perhimpunan besar dengan penyokong dan mendapat sekurang-kurangnya lima kompaun kerana melanggar SOP.

Lawan dan pengkritik BN telah membidas Najib, yang telah disabitkan kesalahan rasuah dan sebahagian daripada "kluster mahkamah" Umno tetapi masih bebas untuk berkempen dan masih diterima oleh penyokongnya.

Hadiah untuk orang Johor

Zahid menyifatkan keputusan tidak rasmi itu sebagai di luar jangkaan BN dan hadiah untuk rakyat Johor.

Dia juga berkata dia akan mengemukakan nama Ketua Umno Johor Hasni Mohammad untuk perkenan Sultan Johor untuk dilantik sebagai menteri besar negeri.


Zahid juga berterima kasih kepada pihak istana kerana memperkenankan permintaan BN untuk membubarkan DUN, membuka jalan untuk pilihan raya yang akhirnya memberi mereka kemenangan.

Hasni dalam ucapannya turut memuji Najib dan berterima kasih kepada rakyat Johor yang mengundi untuk kestabilan politik dan ekonomi di bawah BN.

Hasni berikrar untuk memulakan pelaksanaan janji di bawah manifesto "Ikhtiar BN".

“InsyaAllah, Ikhtiar BN akan dilaksanakan secara berperingkat bermula daripada belanjawan negeri akan datang.

"Ingat, tidak ada individu atau ideologi politik yang lebih besar daripada Johor Darul Takzim. Inilah masanya untuk kita semua membina Johor yang lebih makmur," katanya.

Yang lain di pentas utama meraikan kemenangan itu termasuk Mohamad Hasan, Ketua Umno Sembrong Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dan pemimpin komponen BN. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram