Yasin didakwa edar ganja, berdepan hukuman mati



PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati apabila didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Yasin, 47, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar ganja dianggarkan seberat 214g.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada 5.30 petang 24 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Yasin dituduh mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati, jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, di mahkamah berasingan Yasin mengaku tidak bersalah di depan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamaruddin atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya disyaki ganja atau kanabis, boleh diperoleh sama ada secara terus atau secara tidak langsung pada tarikh, masa dan tempat sama.


Kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 6B (3) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua prosiding itu mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap Yasin dan menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh diberikan rawatan sewajarnya oleh pegawai perubatan sepanjang dalam tahanan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala Yasin diwakili peguam Yusmadi Yusoff.


Menghidap bipolar


Yusmadi memaklumkan mahkamah supaya Yasin dibenar ikat jamin memandangkan tindakan anak guamnya menanam ganja bukan mempunyai niat lain sebaliknya khusus untuk perubatan kerana menghidap bipolar dan memiliki rekod perubatan.

Ketika ditemui media, Yusmadi berkata penyanyi itu perlu dibela memandangkan beliau mempunyai penyakit bipolar yang teruk dan memerlukan rawatan.

“Beliau perlu dibela untuk mendapatkan rawatan sewajarnya, saya minta peminat mendoakan beliau,” katanya.

Terdahulu, ketika dibawa ke mahkamah Yasin sempat memaklumkan kepada media kesihatannya terjejas dan bimbang boleh membawa kepada “gila”.

“Kesihatan saya sangat terjejas, saya khuatir bila-bila masa boleh berlaku ‘crack’, gila,” katanya.

Yasin juga sempat menyampaikan salam kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan meminta presiden MUDA itu memperjuangkan supaya kerajaan membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

“Kirim salam kepada YB Syed Saddiq Abdul Rahman, minta (kerajaan) segerakan kebenaran penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, FMT melaporkan penyanyi terkenal itu ditahan bersama 17 pasu pokok ganja dan ketulan mampat ganja seberat 214g di kediamannya. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram