Dipenjara 14 tahun, empat sebatan amang seksual anak kandung sendiri



MELAKA: Tindakan keji seorang bapa tujuh anak melakukan amang seksual fizikal terhadap darah dagingnya sendiri berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh berusia 46 tahun itu dijatuhi di mahkamah berasingan oleh Hakim Maziah Joary Mohd. Tajudin dan Hakim Nariman Badruddin sebaik sahaja tertuduh membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama di hadapan Maziah, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah iaitu bapa kandung dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang sewaktu kejadian berusia tujuh tahun 11 bulan.

Tindakan itu dilakukan tertuduh pada waktu tengah hari di sebuah rumah di Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah di antara pertengahan sehingga akhir bulan Oktober 2018.


Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Seksyen 14 (d) AKSTK memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebat dan di bawah Seksyen 16 (1) penjara maksimum lima tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang dua sebatan.

Bagi pertuduhan kedua di hadapan Nariman, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sama yang ketika itu telah berusia 11 tahun kira-kira pukul 2.30 pagi di alamat sama, pada 23 November 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) AKSTK 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebat serta penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 23 November 2021, mangsa telah memberitahu pengadu iaitu ibunya mengenai kejadian badannya dihimpit ketika tidur dan sebaik sahaja tersedar dia ternampak bapanya bergegas bangun dan keluar sambil menghulurkan wang RM50, namun tidak diambil.


Pengadu bertanyakan hal itu kepada tertuduh sebelum berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menarik rambut serta memukul badannya.

Tertuduh kemudian menghantar pesanan kepada pengadu meminta maaf dengan berkata: “Abang minta maaf, abang macam kena rasuk pagi tadi bukan abang nak makan anak sendiri. Nasib abang terus sedar tak buat benda yang tak baik”.

Maziah dan Nariman kemudian masing-masing menjatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan, namun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh ditangkap 24 November 2021.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan N. Sivashangari. – Utusan


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram