Shahrir: Kenapa SPRM tak siasat Muhyiddin macam Rohana CEO Astro?



Tokoh veteran Umno Shahrir Samad membangkitkan mengapa SPRM tidak menjalankan siasatan terhadap Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, yang didakwa menerima RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Shahrir membuat perbandingan dengan tindakan SPRM yang menjalankan siasatan terhadap bekas CEO Kumpulan Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan selepas namanya disebut bekas Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara Tim Leissner ketika perbicaraan terhadapnya di Amerika Syarikat.

"Kalau kenyataan saksi dalam mahkamah Amerika Syarikat tentang pemberian wang oleh Tim Leisnner kepada Rohana menggerakkan SPRM untuk menyiasat Rohana, mengapa pula SPRM tidak bertindak sama pantas atas bahan bukti yang sudah diketahui hasil siasatannya sendiri.

"Kalau bukan Muhyiddin yang didakwa menjadi sebab (tiada siasatan), begitu jugalah bukan Rohana yang menjadi tertuduh dalam mahkamah Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Siasatan terhadap Rohana dibuat setelah Leissner berkata dia memberi Rohana AS$10 juta dan wanita itu menggunakan wang itu untuk membeli rumah di London.

Ketika perbicaraan kes rasuah terhadap Zahid berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) semalam, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan Siong Sun berkata syarikat itu memberi RM1.3 juta kepada Muhyiddin secara tunai antara 4 Jun hingga 23 Ogos 2018.

Muhyiddin kemudian menafikan dakwaan itu dan berkata dia sedia disiasat oleh SPRM.

Sharir berkata lagi, SPRM sepatutnya telah tahu tentang dakwaan berkaitan Muhyiddin itu setelah meneliti bahan bukti daripada UKSB.

Dengan itu, dia mendakwa pihak peguam negara juga tahu akan dakwaan itu sebelum ia ditimbulkan saksi semalam.


Kenyataan Shahrir hanya merujuk kepada Muhyiddin namun nama ahli politik lain yang disebut dalam prosiding semalam termasuk Khairy Jamaluddin, Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin Hussein, Mohd Shafie Apdal dan Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi SPRM.

Terdahulu hari ini, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Razlan Rafii menggesa Muhyiddin turut didakwa atas tuduhan rasuah.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli pula menggesa laporan SPRM terhadap pemimpin-pemimpin Umno yang dinamakan sebagai penerima wang daripada UKSB. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram