Laporan polis dibuat dakwaan Muhyiddin terima RM1.3 juta



GEORGE TOWN: Laporan polis dibuat di Melaka terhadap bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan menerima RM1.3 juta daripada sebuah syarikat yang terbabit dalam perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, memberitahu FMT, klasifikasi kes berhubung laporan dibuat itu belum ditentukan dan perincian lanjut akan dimaklumkan kemudian.


Ahli Umno, Lokman Noor Adam, mengesahkan beliau membuat laporan polis, semalam, di Balai Polis Sungai Udang, Melaka, berhubung keterangan diberikan di mahkamah oleh saksi di mana dana daripada sebuah syarikat turut diterima presiden Bersatu itu.

Dalam siaran langsung menerusi Facebook, Lokman meminta polis menyiasat penafian Muhyiddin menerima sumbangan selepas memaklumkan beliau ketika tarikh dikatakan sumbangan itu diberikan, sedang mendapatkan rawatan di luar negara.

Semalam, dalam kenyataan, Muhyiddin berkata beliau tidak pernah menerima sogokan wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan pada tarikh tertentu dinyatakan saksi berkenaan, beliau ketika itu sedang menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.


Saksi perbicaraan rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, David Tan, dalam keterangannya memaklumkan sejumlah RM1.3 juta dibayar kepada Muhyiddin.

Tan berkata, Muhyiddin menerima RM300,000 daripada UKSB, pada 4 Jun 2018, RM500,000 pada 4 Jul 2018 dan RM500,000 pada 23 Ogos tahun sama, menurut laporan Bernama.

FMT menghubungi Muhyiddin untuk ulasan lanjut. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram