SPRM siasat nama didakwa terima wang dari UKSB termasuk Muhyiddin



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap nama-nama yang didakwa menerima wang seperti keterangan saksi dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

"SPRM juga mengesahkan telah menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terlibat yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

"Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009," kata SPRM pada satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, saksi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid semasa memberi keterangan di mahkamah telah memetik nama-nama yang didakwa menerima wang daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).


Antara yang disebut saksi itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein, dan bekas menteri luar negeri Anifah Aman.

UKSB adalah syarikat yang terlibat dalam perbicaraan rasuah membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi berhubung sistem visa luar negara (VLN).

Reezal adalah timbalan menteri luar ketika Zahid menyelia VLN dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri.

Khairy, Reezal, Hishammuddin dan Anifah direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB dan laporan forensik SPRM. Nama mereka muncul semasa perbicaraan semalam ketika bekas pengurus pentadbiran syarikat itu David Tan memberi keterangan.

Tan dalam keterangannya juga mendakwa UKSB membuat pembayaran berjumlah RM1.3 juta kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin antara Jun dan Ogos 2018 ketika dia menjadi menteri dalam negeri.


Selain mereka, nama lain yang disebut semalam sebagai penerima pembayaran UKSB ialah Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Muhyiddin bagaimanapun menafikan menerima sebarang dana daripada UKSB, dan berkata dia ketika itu sedang menjalani rawatan kanser di luar negara ketika bayaran yang didakwa dibuat.

Bagaimanapun, dia telah menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh SPRM.

Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta (RM43 juta) daripada UKSB selama empat tahun dari 2014 hingga 2018 sebagai menteri dalam negeri ketika itu untuk menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di China dan VLN, serta mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN untuk syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.



Join our Telegram Channel
Telegram