Rupanya lelaki bogel tunggang motosikal selepas kelar isteri, bayi 3 bulan



PETALING JAYA: Seorang lelaki mengelar isteri dan anak lelakinya berusia tiga bulan sebelum melarikan diri dalam keadaan berbogel sambil menunggang motosikal dalam kejadian di sebuah rumah di Bakar Batu, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata pada 12.30 tengah hari dipercayai dilakukan suspek berusia 24 tahun.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru menahan suspek di Permas Jaya pada 2.45 petang. Polis turut merampas pisau pemotong daging dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan.


Beliau berkata, suspek ditahan itu menunggang motosikal dalam keadaan bogel seperti tular di media sosial.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07 2182323 atau pegawai penyiasat R Kathiresh 013 4472909,” katanya.

Sementara itu, Rosman Ahmad, 58, yang juga bapa mentua suspek, berkata dia menerima panggilan telefon daripada anak sulungnya memaklumkan terdapat masalah di rumah anak ketiganya sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Ketika ditanya mengenai hubungan anak dan menantunya itu, Rosman berkata, sejak berkahwin, pasangan itu hidup bahagia.

“Anak saya dan menantu memang anak yang baik. Mereka tiada masalah. Saya tidak pernah dengar mereka bergaduh.


“Cuma akhir-akhir ini, saya tahu menantu saya tiada pekerjaan tetap selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu. Mungkin dia ada masalah tempat kerja.

“Dulu dia ada buat kerja pembersihan di stadium, lepas itu dia berhenti kerja. Kemudian saya dapat tahu dia hanya kerja sambilan mencuci kapal di Pasir Gudang dan bantu kerja penyediaan makanan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Jenazah dua beranak itu berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, esok. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:



Please subscribe



Join our Telegram Channel
Telegram