Berseronok di atas musibah, Khairuddin tegur ingat jasa Najib kepada PAS



Saya melihat masih ada dalam PAS yang berseronok di atas musibah DS Najib walaupun Mursyidul Am telah memberi garis panduan kepada ahli dalam isu mahkamah Najib.

Saya rasa sahabat-sahabat saya dalam PAS perlu di peringatkan dengan jasa Najib memudahkan peruntukan untuk Kelantan sebelum 2018, sesuatu yang tidak berlaku di era PM sebelumnya.


Jasa DS Najib juga menggerakkan RUU 355 yang dibentang oleh Tuan Guru Presiden di parlimen.

Jasa DS Najib memberi ruang kepada PAS beraksi dalam program besar peringkat dunia melibatkan 200 orang Ulamak besar dunia di Festival MyAqsa di Putrajaya sehingga Presiden boleh memberi ucaptama.

Di Terengganu, laluan diberikan oleh kerajaan UMNO Terengganu dengan arahan DS Najib untuk PAS berprogram dengan program-program besar termasuk Himpunan FASTAQIM di Tok Jembal pada September 2017 yang menghimpunkan 300k ahli PAS seluruh Malaysia.


Ketika beberapa pimpinan PAS secara peribadi berhadapan masalah kesihatan DS Najib juga secara peribadi membantu atas nama pemimpin negara.

Saya menyebutkan perkara ini agar kita semua belajar erti bersimpati pada mereka yang diuji dengan musibah khususnya pada mereka yang ada sedikit kebaikan kerana kita diajar oleh al-Quran "jangan kamu lupakan kebaikan sesama kamu".

Dr Khairuddin Takiri
30.8.2022



Join our Telegram Channel
Telegram