Jangan hina, hukuman tak menggugurkan kehormatan Najib – Khairuddin



Sikap Kita Terhadap DS Najib Yang Dijatuhkan Hukuman Bersalah

1. Kita menghormati keputusan Mahkamah dalam kes DS Najib Razak. Dalam masa yang sama perlu juga dihormati hak DS Najib untuk melakukan apa sahaja tindakan mengikut lunas undang-undang yang wajar bagi mempertahankan diri dan maruah beliau termasuk antaranya ruang pengampunan Diraja.

2. Jasa beliau sebagai Perdana Menteri tetap tidak dilupakan kerana Islam mengajar tidak melupakan jasa manusia.

Allah berfirman:

وَلَا تَنسَوُا الْفَضْلَ بَيْنَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

"Dan jangan kamu lupakan kebaikan sesama kamu kerana sesungguhnya Allah dengan apa yang kamu lakukan Maha Melihat " (Surah al Baqarah ayat 237).

Sebagai bekas Perdana Menteri beliau mempunyai jasa tersendiri kepada negara dan rakyat yang ramai dalam tempoh puluhan tahun. 


3. Sebagai ahli politik, inilah masanya ramai musuh-musuh politik beliau bertepuk tangan bergembira atas hukuman. Saya melihat ada kalangan pimpinan parti pembangkang yang telah mula berseronok dengan pelbagai kenyataan. Tetapi jangan lupa, beberapa pimpinan pembangkang juga sedang berhadapan dengan kes di mahkamah.

Namun sebagai Muslim dan manusia berakhlak, kita dididik untuk tidak bergembira atas musibah seseorang kerana kita sendiri pun tidak bebas daripada ujian musibah seumpamanya.

Nabi saw bersabda:

لا تُظْهِرِ الشَمَاتةَ لِأَخِيْكَ فَيُعَافِيَهُ اللهُ وَيَبْتَلِيَكَ

"Jangan kamu zahirkan kegembiraan atas musibah saudaramu lalu Allah menyelamatkan dia dan Dia menguji pula kamu" (Hadis riwayat Tirmizi, kata beliau Hadis Hasan Gharib).

Nabi saw mengajar berdoa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوَذُ بِكَ مِنْ سُوءِ الْقَضَاءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَشَمَاتَةِ الْأَعْدَاءِ.

"Ya Allah, saya berlindung dengan-Mu daripada hukuman yang buruk, ditimpa kecelakaan dan kegembiraan atas musibah yang menimpa musuh" (Hadis Bukhari).


4. Jangan menghina orang yang dijatuhkan hukuman kerana hukuman tidak menggugurkan penghormatan.

Kata Ibnu Qayyim dalam Madarik Salikin ketika mengulas kata-kata al-Harawi: "setiap maksiat yang kamu hina dengannya saudara kamu ia balik kepada kamu"; "berkebarangkalian maksudnya ia pulang kepada kamu dan kamu nanti pasti melakukannya. Ia dipetik daripada Hadis Nabi (saw) riwayat Tirmizi

مَنْ عَيَّرَ أَخَاهُ بِذَنْبٍ لَمْ يَمُتْ حَتَّى يَعْمَلَهُ

" Sesiapa yang menghina saudaranya dengan satu dosa, dia tidak akan mati melainkan melakukannya juga"

Sekian

al-Fakir Dr Khairuddin Takiri
23.8.2022



Join our Telegram Channel
Telegram