#PRU15: PAS T'ganu tolak guna logo PN, mahu guna logo 'bulan'



PAS Terengganu tidak setuju untuk menggunakan logo baru Perikatan Nasional (PN), berpandangan logo parti sendiri akan memainkan peranan penting dalam membawa kemenangan dalam PRU15.

"Oleh kerana ada perbezaan dalam politik nasional dan pantai timur, saya nak cadangkan agar di Terengganu khususnya, gunakan lambang PAS dalam PRU akan datang," kata exco Terengganu Ariffin Deraman ketika berucap di Konvensyen PN di Serdang, Selangor hari ini.

Dia berkata ia tidak bermakna kepimpinan PAS Terengganu tidak menerima logo PN, tetapi yakin logo 'bulan' lebih diterima oleh masyarakat di pantai timur.

Dia yang juga Adun Alor Limbat itu mencadangkan agar PN mengadakan tinjauan di Terengganu, Kelantan dan Kedah berhubung tahap penerimaan dua logo tersebut dan yang akan membawa kepada kemenangan kepada PAS.


Bulan lalu, PN dilaporkan akan memperkenalkan logo dan warna baru pada PRU akan datang bagi mengelakkan kekeliruan dengan BN.

Namun cadangan itu tidak disambut baik terutamanya dari kalangan pemimpin di Kelantan dan Terengganu.

Di peringkat PAS pula, presiden Abdul Hadi Awang pada 22 Julai lalu berkata parti itu secara prinsip bersetuju dengan penggunaan logo baru.

Namun, mursyidul am Hashim Jasin menyokong gesaan agar PAS menggunakan logo sendiri pada PRU akan datang. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:

Join our Telegram Channel
Telegram