PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata semua pihak termasuk Muhyiddin Yassin bertanggungjawab ke atas pentadbiran kerajaan termasuk perkara melibatkan ekonomi dan negara.
Katanya, jika kerajaan dikatakan gagal menguruskan ekonomi dan negara, ia bermakna Majlis Pemulihan Ekonomi Negara (MPN) yang dipengerusikan Muhyiddin juga gagal apabila ditugaskan menjadi penasihat kepada kerajaan.
“Dari segi ekonomi Mustapa Mohamed ada mengurus ekonomi dan kita ada Majlis Pemulihan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Muhyiddin sendiri.
“Majlis (MPN) pun menasihatkan kerajaan jadi tanggungjawab itu adalah tanggungjawab bersama. Kalau gagal maknanya semua gagal. Semua gagal termasuk Majlis Pemulihan Ekonomi juga gagal,” katanya kepada media selepas merasmikan Pelancaran Dasar Tenaga Negara hari ini.
Ismail bagaimanapun berkata, beliau belum membaca secara penuh kenyataan Muhyiddin apa sebenar yang ingin disampaikan bekas perdana menteri itu.
Terdahulu Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN), menyarankan Ismail membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), jika gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.
“Barisan Nasional sedang menekan perdana menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan. Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.
“Tetapi, saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” kata Muhyiddin dalam catatan di Facebook.
Tarikh PRU15 mungkin dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Rabu ini
Dalam perkembangan sama ketika ditanya tarikh PRU, Ismail berkata perkara itu mungkin akan dibawa ke mesyuarat Kabinet Rabu ini, sebelum ia dibincangkan di peringkat ‘Top Five Umno’.
Katanya, kemungkinan beliau akan membawa perkara itu kerana terdapat wakil semua parti dalam kerajaan sebelum beliau berlepas ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) di Amerika Syarikat pada 21 Sept depan.
“Saya akan bawa dalam Kabinet juga. Apa yang disebutkan oleh semua pihak. Kalau Muhyiddin kata nak PRU15 cepat, tidak kira sebab kita akan bincang dalam Kabinet kerana ada wakil dalam Kabinet. Ada wakil Bersatu, GPS, PAS dan Umno.
“Secepat mungkin (akan bincang dalam Kabinet), mungkin lebih mendahului daripada Top Five Umno. Hari Rabu ini akan ada mesyuarat Kabinet sebelum berlepas ke UNGA,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata beliau akan bertemu dengan Top Five Umno pada 30 Sept depan sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di sebelah malam.
“Saya belum dapat lagi tarikh tapi tarikh untuk MKT sudah ada iaitu 30 September depan. Mungkin petang itu kita akan bincang,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Jika PM terus gagal urus negara, eloklah adakan #PRU15 – Muhyiddin
- Kalau kerajaan gagal, Muhyiddin pun gagal, kata Ismail
- PM gagal, Muhyiddin jangan hanya menyalak, sila tekan butang – Asyraf
- Banyak cadangan PM dibantah ‘rakan dalam kerajaan’, elok bubar Parlimen, dakwa Bung
- Kritikan Muhyiddin bukti perlunya kestabilan dipulihkan – Zahid
- Meeting kabinet: Menteri Bersatu, PAS bantah #PRU15 tahun ini
- Muhyiddin kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi
Join our Telegram Channel