Meeting kabinet: Menteri Bersatu, PAS bantah #PRU15 tahun ini



Kabinet gagal mencapai kata sepakat untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini, menurut laporan Utusan Malaysia.

Memetik seorang menteri kabinet yang tidak mahu mendedahkan identitinya, Utusan Malaysia berkata menteri daripada Bersatu dan PAS adalah antara mereka yang membantah cadangan mengadakan pilihan raya tahun ini.

Laporan itu mendakwa menteri-menteri berkenaan mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pengurusan banjir dan ekonomi terlebih dahulu.


Beberapa menteri juga dilaporkan tidak bersetuju dengan mengadakan pilihan raya sebelum Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt. Mesyuarat kabinet berlangsung semalam.

Bagaimanapun, menteri kabinet daripada Umno dikatakan menyokong supaya pilihan raya umum diadakan secepat mungkin.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh membubarkan Parlimen atas nasihat perdana menteri.

Bagaimanapun, perlembagaan juga menyatakan bahawa Seri Paduka boleh tidak memperkenankan permohonan pembubaran itu.


Sementara itu, akhbar itu turut memetik Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata, bahawa tiada keputusan mengenai ketetapan tarikh PRU15, dibincangkan semalam.

Sebaliknya, mesyuarat kabinet, katanya, hanya membincangkan persiapan pengurusan banjir dan pemulihan ekonomi.

Menurut Utusan Malaysia, perkara yang sama disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim pula enggan mengulas, dengan alasan tertakluk pada sumpah rahsia rasmi kerajaan. – Mkini
Join our Telegram Channel
Telegram