Kritikan dibuat Muhyiddin Yassin terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat menjadi satu lagi bukti buat Ahmad Zahid Hamidi mengenai perlunya pilihan raya umum (PRU) diadakan segera.
Kata Ahmad Zahid serangan dilancarkan Muhyddin ke atas Ismail Sabri pada 19 Sept lalu menunjukkan keadaan negara tidak stabil dan ia menyukarkan kerajaan berfungsi menghadapi cabaran.
"Ketidakstabilan" itu, dakwa Ahmad Zahid, memperjudikan nasib serta masa depan rakyat apabila pihak kerajaan saling tuduh-menuduh sekali gus memberi gambaran negatif kepada pelabur.
"Justeru, rakyat seharusnya semakin boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan Umno mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan," katanya malam tadi.
Tiga hari lalu Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengeluarkan kenyataan yang menunjukkan kekecewaannya terhadap cara pasukan Ismail Sabri menguruskan situasi semasa negara.
Mengakui tidak cenderung untuk mengadakan PRU segera, Muhyiddin bagaimanapun berkata, jika kerajaan terus "gagal" mungkin langkah membubarkan parlimen perlu diadakan supaya kerajaan baru yang "bebas rasuah" dapat dipilih.
Bagaimanapun Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno menyanggah kenyataan tersebut dan menganggap Muhyiddin serta Bersatu turut menyumbang kepada kegagalan berkenaan.
Sehari kemudian PKR mendakwa, Muhyiddin dan Ismail Sabri tidak perlu saling menuduh sebegitu kerana apa yang berlaku menunjukkan kedua-dua mereka sebenarnya gagal.
Ahmad Zahid memang sudah berkali-kali menyatakan keinginan Umno agar Ismail Sabri memulakan langkah membubarkan parlimen dan bersedia untuk melalui PRU walaupun ketika negara berdepan risiko cuaca tidak menentu pada hujung tahun ini.
Menurut Ahmad Zahid PRU ke-15 penting diadakan segera kerana "sebuah kerajaan yang kukuh" sangat diperlukan termasuk bagi menghadapi kemungkinan kemelut ekonomi yang diramalkan banyak pihak berlaku pada tahun depan.
Dengan demikian, katanya, Malaysia perlu berada pada kedudukan paling kukuh dan stabil termasuk dalam aspek tadbir urus bagi membentengi negara daripada risiko itu.
Pada masa sama ahli parlimen Bagan Datuk itu juga melihat kenyataan Muhyiddin mempunyai unsur sabotaj kepada kerajaan sekarang.
"Sebagai pengerusi MPN (Majlis Pemulihan Negara), beliau sepatutnya tahu kenyataan negatif itu akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.
"Bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebuah destinasi pelaburan apabila pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Jika PM terus gagal urus negara, eloklah adakan #PRU15 – Muhyiddin
- Kalau kerajaan gagal, Muhyiddin pun gagal, kata Ismail
- PM gagal, Muhyiddin jangan hanya menyalak, sila tekan butang – Asyraf
- Banyak cadangan PM dibantah ‘rakan dalam kerajaan’, elok bubar Parlimen, dakwa Bung
- Kritikan Muhyiddin bukti perlunya kestabilan dipulihkan – Zahid
- Meeting kabinet: Menteri Bersatu, PAS bantah #PRU15 tahun ini
- Muhyiddin kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi
Join our Telegram Channel