PUTRAJAYA: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin
mengakui beliau kecewa apabila hanya 16 daripada 69 perakuan berkaitan isu
utama yang diusulkan majlis itu, dilaksanakan kerajaan.
Katanya, 30 daripada 69 perakuan berkenaan masih dalam pelaksanaan, 14 lagi
belum dilaksanakan atau tiada maklum balas daripada kementerian atau agensi
berkaitan, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan Kabinet.
Antara perakuan utama dikemukakan MPN yang Muhyiddin sifatkan prestasi
pelaksanaannya tidak memuaskan, termasuk berkaitan isu kekurangan tenaga kerja
asing, terutama bagi Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) yang menjejaskan
produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.
"Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuarat pada 2 Disember lalu
memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas
Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui Kementerian Sumber
Manusia.
"Tugas jawatankuasa ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah
permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari penyelesaian dengan
segera. Namun, dalam beberapa mesyuarat MPN selepas itu, wakil PMKS masih
menimbulkan isu ini.
"Kekurangan tenaga kerja asing terus membelenggu industri PMKS," katanya pada
sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN di Kementerian Kewangan, di
sini hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau hairan dengan situasi itu kerana Memorandum Jemaah
Menteri (MJM) mengenai perakuan itu serta beberapa cadangan yang lebih
spesifik untuk membantu industri PMKS yang diperakukan pada 14 April lalu,
diangkat kepada Kabinet pada 18 Mei.
Justeru, bekas Perdana Menteri mempersoalkan adakah Kabinet tidak
membincangkan perakuan penting MPN dalam mesyuaratnya selama lebih empat bulan
atau MJM itu dibentangkan kepada Kabinet, tetapi tidak dibincang secara
terperinci.
Katanya, ia agak mengecewakan kerana perakuan penting MPN yang dikemukakan
kepada Kabinet untuk membantu memulihkan industri PMKS yang menyumbang 37
peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tidak mendapat
perhatian segera kerajaan.
"Kelewatan bertindak dalam hal ini adalah sesuatu yang tidak dapat diterima,"
katanya namun menegaskan, beliau tidak berniat untuk menuding jari kepada
mana-mana pihak berkaitan isu berkenaan.
Sebaliknya, Muhyiddin berkata, tujuan beliau membuat pendedahan itu adalah
supaya semua pihak sedar bahawa negara tidak berada dalam situasi yang baik
pada masa ini.
Katanya, biarpun ada petunjuk-petunjuk yang positif dari segi kadar
pertumbuhan, pengangguran dan lain-lain, ia dilihatnya hanya bersifat
sementara sebelum negara berhadapan kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka
pada tahun hadapan. – Bharian
Please subscribe
ARTIKEL BERKAITAN:
- Jika PM terus gagal urus negara, eloklah adakan #PRU15 – Muhyiddin
- Kalau kerajaan gagal, Muhyiddin pun gagal, kata Ismail
- PM gagal, Muhyiddin jangan hanya menyalak, sila tekan butang – Asyraf
- Banyak cadangan PM dibantah ‘rakan dalam kerajaan’, elok bubar Parlimen, dakwa Bung
- Kritikan Muhyiddin bukti perlunya kestabilan dipulihkan – Zahid
- Meeting kabinet: Menteri Bersatu, PAS bantah #PRU15 tahun ini
- Muhyiddin kecewa kerajaan lambat ambil tindakan pulih ekonomi
Join our Telegram Channel