Pulau Pinang batal darjah kebesaran Najib

Datuk Seri Najib Razak menerima Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) daripada Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas pada 12 Oktober 2009. - Gambar fail Bernama


PETALING JAYA: Kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas perdana menteri Najib Razak berkuat kuasa hari ini. 

Najib dianugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’ Seri Utama itu pada 2009.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Pulau Pinang Mohd Zakuan Zakaria berkata, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ahmad Fuzi Abdul Razak bersetuju kerajaan negeri membatalkan darjah kebesaran Najib itu berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos mengekalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International.


Zakuan berkata, pembatalan ini adalah selaras dengan kuasa yang diberikan kepada yang di-pertua negeri menurut perlembagaan negeri serta peraturan berkaitan darjah kebesaran negeri.

Pada 12 Sept, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik dua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib.

Najib dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama pada 2004, yang memberinya gelaran Dato’ Seri.

Sebelum itu, pada 1992, dia dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor Kelas Kedua, yang membawa gelaran Dato’.


Darjah kebesaran bagi Rosmah Mansor turut ditarik balik selepas dia didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah oleh Mahkamah Tinggi pada 1 Sept.

Isteri Najib itu dikurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor Kelas Pertama, yang membawa gelaran Datin Paduka Seri, pada 2005.

Pada 2018, istana Negeri Sembilan turut menarik darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Najib dan Rosmah. – FMT


ARTIKEL BERKAITAN:


 

Join our Telegram Channel
Telegram